KUALA LUMPUR: Bilangan individu amat kaya di Malaysia meningkat 11 peratus kepada 310 orang pada 2017 berbanding tahun sebelumnya, berdasarkan laporan The Wealth Report 2018 oleh Knight Frank.
Pada 2016, bilangan individu amat kaya di Malaysia adalah 280.
Firma perundingan harta global itu merujuk individu amat kaya sebagai golongan yang memiliki kekayaan atau aset bersih sekurang-kurangnya AS$50 juta (RM193 juta) atau lebih.
“Faktor peningkatkan itu, antara lain, dipacu kekuatan ringgit yang mencatat pengukuhan sekitar 15 peratus (berbanding dolar) pada 2017. Selain itu, perkembangan sektor-sektor seperti e-dagang dan pembuatan di Malaysia turut membantu,” kata Ketua Penyelidikan Knight Frank bagi Asia Pasifik Nicolas Holt selepas mengumumkan hasil laporan itu.
“Namun, ini perlu dilihat dari segi konteks global kerana peningkatan kekayaan golongan ini di Malaysia selaras dengan pemulihan ekonomi, pengukuhan pasaran saham dan hartanah secara global.”
Knight Frank turut meramalkan individu amat kaya di Malaysia akan meningkat 65 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang, selaras dengan pertumbuhan di Asia.
“Pertumbuhan di Asia dalam tempoh lima tahun akan datang kelihatan amat optimis. China dijangka akan menyumbang 47 peratus daripada 20,000 individu amat kaya baharu di Asia,” tambah Holt.
Sementara di peringkat global, Amerika Utara kekal mencatatkan kelompok individu amat kaya teramai dengan 44,000 individu.
Rantau Asia, buat kali pertama, mengatasi Eropah dengan 35,880 individu amat kaya, iaitu peningkatan 15 peratus pada 2017 berbanding tahun sebelumnya.
Eropah mencatatkan 35,180 individu amat kaya, diikuti oleh Asia Barat 4,740. Secara keseluruhannya, individu amat kaya di dunia seramai 129,730.
BACA: Bilionair sedunia makin kaya, mereka sepatutnya mampu akhiri kemiskinan global 7 kali