Pasti ada sebahagian daripada kita yang gemar dengan produk IKEA yang terkenal dengan rekaan perabotnya yang moden, elegan dan menarik kan. Harga pun berpatutan dengan kualiti yang ditawarkan. Pernah tak anda terfikir bagaimana IKEA mampu menawarkan harga mampu milik walaupun rekaannya kelihatan eksklusif dan mahal?
Pengasas IKEA iaitu Ingvar Kamprad mempunyai strategi tersendiri dalam usaha memberikan harga yang rendah dengan produk yang berkualiti. Ya kadang-kadang pengguna mahukan perabot dan kelengkapan rumah yang mempunyai sentuhan moden dan elegan untuk menghiasi ruang kediaman mereka tetapi bila memikirkan harga yang mahal maka ia membantutkan hasrat mereka.
Maka itu Kamprad cuba mencari solusi bagi masalah mereka dengan menawarkan perabot yang cantik dan moden tetapi harga masih mampu milik. Dalam masa yang sama tetap menguntungkan bisnes. Kami kongsikan strategi Ingvar Kamprad dalam menjimatkan kos dari pelbagai sudut demi memenuhi keperluan pelanggannya.
- IKEA memfokuskan kos seunit barang supaya harga yang ditawarkan adalah mampu milik. Bagi menurunkan kos seunit untuk barangan dan perabot yang dijual, IKEA hanya membuat pesanan daripada pengeluar dalam kuantiti yang tinggi sahaja. Jadi pentingnya rundingan dengan pengeluar dalam memastikan mereka mendapat harga yang rendah.
- Penjimatan dalam kos pengangkutan berlaku apabila IKEA mereka perabotnya dalam bentuk ‘knockdown’ iaitu perabot yang sedia dipasang dan dibungkus rata. Ia juga mudah untuk diangkut ke gudang. Semua ‘knockdown’ itu boleh diangkat dengan menggunakan forklift dengan mudah.
- Selain daripada itu pelanggan juga mudah untuk membawa pulang perabot yang dibeli dengan menaiki kereta atau trak. Troli khas yang disediakan memudahkan pelanggan membawanya dari kaunter hingga ke kereta.
- Disebabkan kebanyakan perabot mereka berbentuk knockdown, maka pelanggan hanya perlu mengambilnya di bahagian stor gudang sendiri. Setelah membuat pembayaran mereka boleh membawa pulang sendiri ke rumah. Namun IKEA tetap menawarkan khidmat penghantaran dengan caj tertentu apabila ada permintaan pelanggan.
- Tidak seperti kebanyakan kedai perabot yang telah dipasang siap. Pelanggan hanya tunggu perabot mereka sampai di rumah. Di IKEA lain caranya. Pelanggan mereka memasang sendiri perabot apabila dibawa ke rumah. Oleh itu secara tidak langsung IKEA telah menjimatkan kos pemasangan.
- Bagi memudahkan pelanggan, mereka menyediakan manual langkah demi langkah sebagai panduan kepada pelanggan untuk memasang perabot itu di rumah. Kebiasaannya komponen-komponen perabot itu adalah dalam bentuk mudah dipasang ibarat mencantumkan ‘Lego’ dan akhirnya menjadi sebuah perabot.
- Gudang-gudang IKEA beroperasi mengikut konsep margin keuntungan yang rendah pada kuantiti yang tinggi. Mereka tidak meletakkan margin keuntungan pada tahap yang tinggi dengan menjual barang dengan harga yang mahal. Mereka lebih utamakan jumlah kuantiti yang tinggi walaupun dijual dengan harga rendah.
Strategi inilah yang membuatkan IKEA dapat menawarkan harga 20% lebih murah berbanding pesaingnya dan IKEA masih mampu membuat keuntungan yang besar kerana penjimatan kos yang bijak dan kualiti produk yang memuaskan hati pelanggan.
Begitu juga dalam bisnes anda. Tidak semestinya anda tidak boleh mendapat keuntungan dengan menjual harga yang rendah kepada pelanggan tetapi anda harus teliti dalam menyusun strategi kewangan.
Strategi itu mestilah melibatkan semua proses perniagaan seperti operasi, pengurusan, pemasaran, jual beli dan sebagainya kerana ia mampu mempengaruhi harga yang anda boleh letakkan ke atas sesuatu produk atau servis. Ingat sales banyak tidak semestinya untung jika kita tidak cakna dengan kos-kos lain yang berlaku dalam bisnes.