KUALA LUMPUR: Romantis!
Walaupun sudah mendirikan rumah tangga selama 62 tahun, hubungan antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pasangannya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali disifatkan sebagai pasangan romantis.
Dalam satu temu bual oleh bintang Ceria Popstar, Kashika Selvam, bersama pasangan ini, kemesraan mereka berdua jelas kelihatan apabila mereka mempunyai minat yang sama.
“Durian atau keju?” “Durian,” jawab mereka serentak.
“Perancis atau Belgium?” “Perancis,” sekali lagi jawab mereka serentak.
Bukan itu sahaja, Dr Mahathir turut berkongsikan perkara yang paling disukai terhadap Dr Siti Hasmah.
“Terlalu banyak, tapi apa yang paling saya suka adalah… dia tidak kacau saya. Kerana saya ni selalu keluar, selalu ada kerja, tak cukup masa untuk keluarga, anak-anak… tetapi dia tidak merungut,” katanya.
Dalam pada itu, umum sedia tahu bahawa pelantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh telah menyebabkan beliau perlu kembali berkhidmat kepada negara.
Dalam temubual ini, Dr Siti Hasmah mengakui kesibukan bekerja Dr Mahathir adalah kelemahan beliau.
Bagaimanapun, Dr Siti Hasmah akan tetap menyokong suaminya untuk menjalankan tanggungjawab terhadap negara.
Saksikan rakaman temu ramah eksklusif sempena sambutan ulang tahun ke-93 Dr Mahathir pada Selasa dan ulang tahun Dr Siti Hasmah yang ke-92 pada Khamis.