NEW DELHI: Polis menahan seorang pelatih didakwa menolak seorang pelajar universiti berusia 19 tahun dari tingkat dua sebuah bangunan hingga meragut nyawa mangsa ketika sesi latihan berlangsung, semalam.
Kumpulan pelajar yang berada di tempat kejadian turut terkejut melihat keadaan rakan mereka selepas ditolak secara tiba-tiba.
Rakaman insiden menggemparkan itu juga menjadi tular di media sosial dan telah mencetuskan kemarahan banyak pihak.
“Kami sedang menyiasat pihak yang menganjurkan latihan itu dan pelatih terbabit sudah diberkas.
Tindakannya telah menyebabkan mangsa cedera parah pada kepala dan leher. Pelatih terbabit didakwa menyebabkan kematian akibat kecuaian,” kata jurucakap polis di bandar Coimbatore.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) yang melakukan latihan bencana seluruh India memaklumkan mereka tidak menganjurkan atau mengatur acara itu.
“Pelatih tersebut tidak diberi kuasa oleh kami untuk mengendalikan latihan seumpama itu,” kata agensi itu menerusi Twitter.
Sementara itu, media tempatan melaporkan pelatih tersebut tidak diperakui untuk melakukan latihan terbabit malah pihak kolej juga tidak meminta sebarang kebenaran. -AFP