SELAYANG: Pengamal perubatan tradisional dan moden perlu bekerjasama untuk mencorak strategi penambahbaikan tahap kesihatan masyarakat negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia sekali gus tanggungjawab pengamal perubatan untuk mengambil berat rawatan serta kawalan penyakit sebelum sampai ke tahap yang lebih teruk.
Sebagai contoh jelasnya, perubatan fungsian (functional medicine) merangkumi penelitian ke atas penyakit serta pemulihan dan langkah penjimatan perbelanjaan Kerajaan.
“Ia adalah bidang kesihatan yang memberikan tumpuan terhadap keseimbangan pemakanan, nutrisi, hormon, pembuangan toksin, kesihatan mental dan rohani serta gaya hidup untuk mencapai kesihatan yang cemerlang.
“Perkara-perkara ini adalah penting yang belum lagi diberikan perhatian sepenuhnya oleh pengamal-pengamal perubatan konvensional,” katanya.
Kenyataan Dr Dzulkefly itu dikeluarkan sempena majlis perasmian Persidangan dan Bengkel Fungsi Perubatan Herba ke dalam Perubatan Arus Perubatan Moden di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail dan Presiden Dewan Perniagaan Perubatan Tradisional Malaysia (DPPTM), Datuk Dr Zam@Ab Razak Zamri.
Dalam pada itu jelas Dr Dzulkefly, PERDIM, DPPTM dan International Anti Aging and Integrative Medicine (iAIM) mempunyai visi untuk menjadi peneraju dalam bidang amalam perubatan integrasi negara.
“Ia dalam misi untuk menjadi pusat pelatihan dan pendidikan perubatan fungsian dan integratif di rantau Asia dan menjadikan negara sebagai hab pendidikan untuk tujuan tersebut.
“Rancangan ini bukan sahaja menjadikan maasyarakat kita lebih berilmu dan lebih sihat malah dapat memberikan peluang pekerjaan dan berpotensi meningkatkan tahap ekonomi masyarakat,” katanya.
Tambahnya, Kementerian Kesihatan juga sentiasa prihatin terhadap keperluan penjagaan kesihatan yang saksama dan berkualiti.
Katanya, ia sekali gus sistem mampu milik untuk rakyat selain giat mengumpul idea untuk merancang strategi pemulihan dan penambahbaikan jaringan sistem kesihatan negara.