KUALA LUMPUR: Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan diadakan dalam tempoh tiga tahun ini, tegas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin hari ini.
Ini kerana, katanya, kerajaan memerlukan masa untuk menjalankan kajian ke atas pelbagai aspek berkaitan termasuk perundangan.
“Antara perkara teknikal yang harus kita lihat ialah meminda beberapa undang-undang, antaranya Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Pilihan Raya 1998 dan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
“Kita memerlukan masa tiga tahun memandangkan keadaan kewangan negara belum stabil, ekonomi belum stabil.
“Untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan, ia memerlukan kewangan yang banyak, jadi kita ambil masa tiga tahun,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang bertanya sama ada kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhasrat melaksanakan pilihan raya tersebut.
Katanya, buat masa ini, kerajaan PH perlu mengutamakan perkara lain terlebih dahulu seperti memastikan kedudukan kewangan negara stabil.
Tambahnya, kerajaan sudah mengambil beberapa langkah, termasuk menubuhkan jawatankuasa di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Jelasnya, hasil bengkel pada 12 Julai lalu melibatkan beberapa agensi seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Kementerian Wilayah dan penasihat undang-undang akan dikaji sebelum satu kertas kerja Kabinet dibentangkan.