KUALA LUMPUR : Perlu ada usaha berterusan bagi memastikan sektor pelancongan dapat dijadikan sebagai jambatan untuk menghubungkan perbezaan budaya, serta membina masa depan yang lebih baik untuk masyarakat Orang Asli di negara ini.
Selain itu, perlu juga rangka kerja dalam sektor pelancongan bagi memastikan wujudnya peluang bagi mempromosi pemahaman antara budaya yang lebih mendalam, di samping meningkatkan peluang ekonomi untuk masyarakat itu.
Atas sebab itu, sekumpulan pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), mengambil inisiatif mengunjungi Perkampungan Orang Asli Pertak di Kuala Kubu Bharu, Selangor, baru-baru ini untuk melihat sendiri peluang ekonomi yang boleh dijana komuniti di situ.
Penolong Pengurus Projek berkenaan, Nur Hidayah Khalil, ketika ditemui Astro AWANI, memberitahu, objektif program berkenaan, dikenali ‘Bridging the Boundaries’ adalah membolehkan peserta berkongsi maklumat dan strategi perniagaan kepada komuniti berkenaan.
“Di masa komuniti Orang Asli dianggap keterkebelakang dan perlu dimodenkan, program ini mewujudkan platform bagi masyarakat luar melibatkan diri dengan aktiviti seharian komuniti itu.
“Melalui program ini, peserta boleh melihat sendiri potensi produk tradisional yang dihasilkan komuniti berkenaan, serta memikirkan kaedah yang terbaik bagaimana ia dapat dipasarkan di pasaran tempatan,” katanya lagi.
Nur Hidayah berkata, seramai 31 peserta terdiri dari kumpulannya dan orang awam telah menyertai program berkenaan yang berlangsung selama dua hari satu malam pada hujung Julai lepas.
Melalui projek CSR berkenaan, jelasnya lagi, keputusan serampang dua mata dapat dilihat seperti bagaimana komuniti berkenaan dapat menjana ekonomi dengan lebih baik, sekali gus meningkatkan taraf kehidupan mereka, dan pada masa yang sama, membolehkan masyarakat luar memahami budaya mereka dengan lebih mendalam.