KUALA PILAH: Tiba hujung minggu, pekan Kuala Pilah dikunjungi peminat barangan kemas.
Dapat dilihat, ramai yang memenuhi deretan kedai emas di Jalan Dato’ Undang Johol, bagaikan ada pesta.
Kenapa?
Emas kek Kolo Pilah murah!
Mana taknya, kalau ikut harga pasaran semasa, harga emas 916 lebih kurang RM188 satu gram tetapi di sini, hanya RM151 sahaja satu gram ketika wakil Astro AWANI membuat tinjauan pada Ahad.
Murah bukan?
“Emas di sini murah. Murah banyak. Kalau campur upah pun, masih murah, jika nak dibandingkan dengan Seremban,” kata Zaihashida Zainal, yang datang dari Seremban semata mata untuk membeli emas.
Begitu juga seorang lagi pengunjung, Lydia Hassan, yang bekerja dan menetap di Klang tetapi berasal dari Seremban.
“Ini kali ketiga saya datang. Memang murah banyak. Dalam 30 peratus lebih murah berbanding tempat lain,” ujarnya.
Ada sebab kenapa emas di Kuala Pilah ini murah.
Menurut salah seorang penjual dan pemilik kedai emas, antara faktor kenapa emas murah adalah kerana mereka tidak terikat dengan Persatuan Peniaga Emas Malaysia.
Kedua, mereka tidak perlu membayar sewa kedai kerana premis itu milik sendiri.
Dan yang ketiga, kos buruh.
Penjual emas tidak perlu membayar kos pekerja yang tinggi kerana, merekalah bos, mereka juga pekerja.
Jadi, terjawablah segala persoalan kenapa orang sering ke Kuala Pilah untuk membeli emas.
Bak kata pembeli, berbaloi datang dari jauh pun.