KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengenal pasti sebuah mesej yang tular mendakwa pencarum yang bekerja antara tahun 1990 dan 2018 layak mendapat insentif RM6,000.
Dalam satu kenyataan hari ini, KWSP menyebut mesej yang tular itu dan kandungannya adalah palsu dan tidak berkaitan dengan agensi berkenaan.
“Mesej berkenaan juga mempunyai pautan ke laman sesawang palsu KWSP, meminta orang ramai menjawab kaji selidik bagi menyemak kelayakan mereka untuk menerima insentif berkenaan di laman web palsu itu,” kata kenyataan itu.
Menurut EPF, pihaknya percaya ini adalah cubaan penipuan data peribadi pencarum untuk tujuan berunsur jenayah.
Pencarum digesa tidak menjawab sebarang kaji selidik atau memberikan data peribadi kepada pihak ketiga yang tidak disahkan dan tidak menyebarkan mesej tular berkenaan.
Segala maklumat mengenai produk dan perkhidmatan KWSP terdapat dalam laman sesawang rasmi di www.kwsp.gov.my, Hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau e-mel melalui http://enquiry.kwsp.gov.my.
— BERNAMA