IPOH: Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak akan dikenakan ke atas sate yang dijual di kedai makan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau berkata SST yang dikenakan ke atas makanan popular rakyat Malaysia itu adalah di peringkat pemprosesan untuk tujuan pembungkusan dan jualan.
“Ini adalah satu penjualan (peringkat pemprosesan) yang dikenakan SST, bukan dekat kedai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat SST di sebuah hotel di sini, hari ini.
Lim berkata demikian semasa ditanya sama ada sate ayam atau daging yang dijual di kedai akan turut dikenakan SST memandangkan ia disenaraikan sebagai antara barangan dikenakan cukai tersebut di bawah ‘preparation of meat‘.
Selain itu, Lim mengulangi saranan agar peniaga serta serta premis perniagaan yang belum mengemas kini sistem mereka untuk melaksanakan SST dapat berbuat demikian dengan segera.
Katanya kegagalan berbuat demikian menyebabkan mereka tidak boleh melaksanakan SST, malah perlu membayar cukai kepada kerajaan dengan menggunakan wang sendiri.
Saranan sama turut disuarakan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Seri T. Subromaniam yang berkata lawatan mesra pihaknya mendapati masih terdapat penyedia perkhidmatan belum mengemas kini sistem mereka.
“Kita nasihatkan mereka untuk buat ‘updating sistem‘ berkenaan supaya cukai perkhidmatan enam peratus boleh dikenakan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan para peniaga yang mempunyai masalah termasuk daripada sudut teknikal agar dapat menghubungi pihak kastam untuk bantuan.
— BERNAMA