Industri filem di Malaysia semakin berkembang maju. Jika dahulu masyarakat mungkin memandang serong terhadap pembikinan filem tempatan, namun persepsi ini berubah kian waktu. Kebelakangan ini para pembikin filem sudah mula mengeluarkan filem yang berkualiti tinggi.
Langkah-langkah yang diambil ini memperlihatkan hasil dengan karya-karya yang lebih bermutu. Ini turut dapat diaplikasikan pada usahawan dan perniagaan yang mereka jalankan.
Bagaimana sebuah filem dapat memberikan kesan kepada usahawan? Ayuh lihat saling hubung kaitnya:
1) Pemilihan Timing Yang Tepat
Percaturan masa sangat penting untuk memastikan semua yang dilakukan adalah dalam garis masa yang sesuai.
Penjadualan tayangan filem Munafik 2 yang di buat hampir dengan keraian Hari Kemerdekaan dan cuti panjang menyebabkan orang ramai mempunyai kelapangan dan kesempatan untuk keluar menonton wayang. Buktinya di dalam masa 4 hari tayangan filem Munafik 2 berjaya meraih sebanyak RM 21.6 juta keuntungan dengan hari pertama tayangan sahaja sebanyak RM 3.6 juta telah direkodkan.
Tidak kurang hebatnya dengan filem Munafik terdahulu yang bukan sahaja berjaya mengaut keuntungan besar bahkan pecah panggung di luar negara seperti di Singapura yang mencecah sebanyak RM 2 juta. Kedua-dua filem Munafik yang ditayangkan masing-masing pada tahun 2016 dan 2018 mendapat sambutan yang hebat kerana masa yang sesuai dan tepat.
Apa yang boleh usahawan contohi daripadanya ialah rancang juga masa yang tepat dan sesuai dalam bisnes anda. Semua yang bakal dijalankan dalam perniagaan anda harus berjalan mengikut waktu yang dirancang misalnya bilakah produk anda akan dilancarkan.
Mengambil contoh dari sudut perniagaan itu sendiri misalnya jika anda merancang untuk mengeluarkan barangan persekolahan waktu yang paling tepat ialah sewaktu hujung tahun sebelum sesi persekolahan bermula. Ini akan menarik orang ramai untuk melakukan pembelian.
Mula dari awal susun kerangka masa yang baik untuk bisnes anda, dan terus rebut peluang pada timing yang baik, tepat dan sempurna!
2) Strategi Pengeluaran
Membawa maksud strategi itu sendiri yang memperkatakan tentang rancangan yang teratur untuk mencapai matlamat atau kejayaan inilah yang dipersembahkan oleh filem Munafik 2 yang akhirnya telah membawa kejayaan besar.
Mempersembahkan trailer atau sedutan babak-babak sebelum tayangan sebenar kepada penonton adalah strategi yang bijak dilakukan pihak produksi. Tayangan trailer rasmi telah mula ditayangkan sekitar 9 Julai iaitu sebulan sebelum tayangan sebenar filem. Walaupun hanya dengan berbekalkan trailer berdurasi 4 minit sahaja namun sudah cukup menangkap minat khalayak.
Begitu juga yang perlu dilakukan usahawan. Pasang strategi perniagaan sejak dari awal lagi. Dengan penyenaraian strategi inilah yang menjadi penanda aras untuk usahawan mencapai matlamat yang diingini. Strategi ini meliputi banyak sudut daripada perancangan kewangan, pemasaran, penjualan, sumber manusia dan seumpamanya.
Misalnya, susun strategi kewangan dengan baik agar usahawan bukan sahaja dapat mengaut keuntungan semata-mata sebaliknya mendapat aliran tunai yang berterusan demi kelangsungan perniagaan.
Sentiasa tanam dalam fikiran bahawa strategi yang sistematik dan baik akan menjamin kejayaan usahawan dan bisnes mereka.
3) Kualiti Yang Terjamin
Skop Production merupakan sebuah produksi yang terkenal dengan diterajui oleh Datuk Yusof Haslam semestinya mementingkan kualiti. Untuk itu soal kualiti amat dititiberatkan di dalam pembikinan filemnya. Bagi memastikan kualiti yang bagus filem ini telah memakan belanja yang besar. Namun ia cukup berbaloi dengan hasilnya yang berkualiti tinggi.
Kualiti ini diperlihatkan dari banyak sudut, bermula pemilihan pelakon, props, lokasi penggambaran, olahan skrip dan semua yang terlibat. Kesemuanya dipilih rapi agar kualiti tetap terjaga. Lihat sahaja betapa kualitinya apabila Pengarah filem ini iaitu Syamsul Yusof turut memegang watak utama sebagai Ustaz Adam. Bukan sahaja berkualiti bahkan versatile!
Aplikasikan juga pada diri anda selaku usahawan. Paling penting sentiasa jaga kualiti apa sahaja yang anda tawarkan. Jangan kekal pada tahap itu sahaja, cabar diri dan bisnes anda dengan meningkatkan lagi tahap kualiti dari semasa ke semasa.
4) Kerjasama Kuat Pasukan
Filem Munafik 2 berjaya juga disebabkan adanya kerjasama erat antara pasukan di dalam produksi. Setiap individu di dalam produksi memainkan peranan yang cukup besar sehingga berjayanya filem Munafik 2. Kerjasama erat ini secara langsung atau tidak langsung perlu dikerah dari Pengarah sehinggalah mereka yang berada di belakang tabir.
Bagaimana usahawan dapat mengambil tauladan daripada perkara ini? Usahawan sebagai pemiik perniagaan harus menerapkan nilai kerjasama antara dirinya dan barisan staff. Sehebat manapun seseorang usahawan itu pasti ada pekerja yang menjadi tulang belakang kepada bisnes anda.
Usahawan sebagai pemilik perniagaan harus membina suatu hubungan yang baik dan rantaian kerjasama yang baik dengan para staff agar memberikan manfaat buat kedua-dua belah pihak dan juga perniagaan anda. Jangan lakukan tugas seorang diri, agihkan dan lakukannya bersama agar kerjasama ini menghasilkan output yang lebih berkualiti.
5) Persembahan Yang Realistik
Semua orang pasti melihat sesuatu seperti yang mereka mahukan. Inilah yang telah berjaya dipersembahkan oleh filem Munafik 2. Persembahan realistik lebih meyakinkan khalayak ramai. Filem Munafik 2 berjaya menonjolkan apa realiti apa yang berlaku dalam masyarakat kerana ia benar terjadi. Maka masyarakat lebih mempercayai sekaligus tertarik menonton filem ini.
Usahawan juga harus melakukan perkara yang sama. Sentiasa realistik dengan apa yang anda jual atau tawarkan. Misalnya produk pemutihan atau penjagaan kulit perlulah menyatakan sesuatu yang realistik dan masuk akal. Penipuan atau ketidakjelasan terhadap produk boleh mengeliru dan memperdaya pelanggan anda.
Konklusinya, setiap yang ada di sekeliling kita adalah pengajaran dan pembelajaran. Usahawan perlu berfikiran luas dan mengambil apa sahaja di persekitaran mereka untuk dikaitkan dengan perniagaan. Siapa sangka, filem juga boleh dijadikan iktibar untuk diri anda sebagai usahawan.