KUALA LUMPUR: Bintang realiti televisyen terkenal, Kim Kardashian, kini merupakan selebriti terbaru yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low, yang sedang diburu polis.
Menurut laporan antarabangsa, Jho Low pernah menghadiahkan sebuah kereta Ferrari putih kepada Kim dan pemain bola keranjang, Kris Humphries, sebagai hadiah perkahwinan mereka pada 2011.
Kereta tersebut dilaporkan bernilai AS$325,000 (sekitar RM1.3 juta).
Menurut laporan, Jho Low hadir di majlis perkahwinan pasangan tersebut tetapi hanya dikenal pasti sebagai “seorang ahli perniagaan Malaysia” ketika itu.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat percaya, kereta tersebut dibeli dengan dana yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sama seperti barang kemas yang dihadiahkan oleh Jho Low kepada Miranda Kerr dan juga lukisan Picasso dan Basquiat yang diberikan kepada Leonardo DiCaprio sebelum ini.
Pada bulan lalu, Kim dilihat tiba di sebuah majlis makan malam di Miami, Florida menaiki sebuah Ferrari putih, namun ianya tidak dapat dipastikan sama ada kereta tersebut adalah kereta yang sama.
Selain mereka, antara selebriti lain yang pernah menerima hadiah dari Jho Low termasuk Swizz Beatz, Pras Michél dan Nicole Scherzinger.
Jho Low kini dipercayai sedang menyembunyikan diri di China.
BACA: Sebenarnya, Jho Low dapat bantuan penyanyi rap AS?
BACA: Jho Low cuba halang penerbitan buku dedah skandal 1MDB – Clare