KUALA LUMPUR: Tahukah anda 3 peratus daripada golongan dewasa di Malaysia yang dilahirkan sebelum pelaksanaan vaksinasi Hepatitis B pada tahun 1989 dan 95 peratus daripada 380,000 orang menghidapi Hepatitis C tidak sedar bahawa mereka terjangkit, terutamanya golongan gelandangan?
Bagi meningkatkan kesedaran tentang keseriusan penyakit ini, Persatuan Membasmikan Hepatitis Malaysia (HFM) berganding bahu dengan Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN:girls) menerusi tayangan filem berjudul ‘Orang Itu’.
Pengarah Eksekutif WOMEN:girls berkata gelandangan bukan lagi isu asing di Malaysia, lebih-lebih lagi di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur.
Kepayahan golongan ini menempuh hidup setiap hari tanpa tempat berlindung dan penjagaan kesihatan yang sempurna pastinya tidak terbayang dek akal fikiran kita.
Ngai Yuen, yang mendapat ilham daripada situasi keadaan tersebut, berkata penghasilan filem ini memberi fokus tentang kisah dan persoalan mengenai manusia gelandangan.
“Kami cuba menggunakan filem ini sebagai alat untuk mengumpul dana supaya kami boleh mendapatkan kit ujian Hepatitis untuk diberikan kepada komuniti-komuniti jalanan di Kuala Lumpur.
“Ini penting kerana komuniti jalanan tidak tahu status kesihatan mereka dan sekiranya mereka tidak menjalani ujian tersebut, mereka tidak akan tahu.
“Saya berpendapat bahawa kami tidak memberikan bantuan tersebut dan kami perlu memberikan akses kepada maklumat dan penjagaan kesihatan yang lebih baik,” kata Ngai Yuen ketika ditemui di tayangan media filem ‘Orang Itu’ pada Khamis.
Menyedari kehebatan impak filem tersebut, Presiden Persatuan HFM, Prof Dr Rosmawati Mohamed, berkata pihaknya amat teruja untuk bekerjasama dengan WOMEN:girls dalam usaha kempen ‘Find The Missing Thousands’ bagi memberikan perhatian serius kepada mereka yang memerlukan.
“Hepatitis telah dirujuk sebagai pembunuh senyap, kedua-duanya Hepatitis B dan C. Dan ramai yang tiada menunjukkan sebarang simptom sehingga peringkat akhir.
“Di peringkat dunia, jika kami bercakap tentang kematian, virus Hepatitis B dan C adalah wabak kerana kebimbangannya bukan sahaja kerana ia lebih tinggi berbanding dengan kematian yang diakibatkan HIV, Tuberculosis dan Malaria.
“Apa yang lebih membimbangkan adalah wabak virus Hepatitis ini masih meningkat,” jelas Rosmawati.
Filem ‘Orang Itu’ bakal menemui penonton pada 16 Oktober ini di tayangan eksklusif Majlis Tayangan Gala di panggung wayang GSC Pavilion dan kempen tersebut akan dijalankan selama enam bulan.