KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan nasib peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.
Dalam catatan di laman Facebook rasminya, bekas perdana menteri berkata, peminjam PTPTN ‘dihasut’ selama 10 tahun oleh pihak pembangkang sebelum ini untuk tidak membayar balik pinjaman mereka.
“Kini mereka sering dimarah oleh Pakatan Harapan (PH) kerana tidak membayar pinjaman pula,” tulisnya.
“Mereka tidak sepatutnya dimarah (dan dilabel) sebagai tidak amanah, memalukan bangsa sendiri dan kini dimarah supaya mengabaikan janji manifesto PH.
“Peminjam-peminjam PTPTN hanya mahu menuntut PH untuk tunaikan janji-janji mereka,” kata Najib.
Justeru beliau menasihatkan peminjam PTPTN untuk membayar mengikut kemampuan masing-masing susulan janji populis PH yang sukar dilaksanakan.
“Kerajaan sedang mengalami tekanan fiskal yang teruk di mana mereka sudah kehilangan hasil sebanyak RM40 bilion setiap tahun selepas mansuh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), melaksanakan subsidi pukal dan mengalami ketirisan dalam pengutipan cukai korporat dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” tambahnya.
BACA: Pembangkang, jangan politikkan isu PTPTN! – Maszlee
BACA: Jangan salahkan peminjam Melayu dalam isu bayaran balik PTPTN – Najib