Tindakan kerajaan melaungkan amaran untuk menarik balik pengecualian Cukai Jualan dan
Perkhidmatan (SST) yang diberikan kepada pemaju hartanah selepas mereka masih berdegil menurunkan harga rumah menarik perhatian rakyat Malaysia yang majoritinya bersetuju dengan cadangan tersebut.
Pelbagai golongan seperti belia, pasangan yang baru berkahwin dan kumpulan berpendapatan rendah kini mungkin boleh menarik nafas lega setelah pengumuman positif tersebut setidak-tidaknya mencerahkan peluang serta impian mereka untuk membeli hartanah pertama seandainya ia direalisasikan kelak.
Pada Isnin lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak menolak kemungkinan kerajaan akan menimbang semula pengecualian yang diberikan ke atas bahan pembinaan yang tidak dikenakan SST seperti pasir, simen dan besi termasuk sewaan dan bil utiliti dalam sektor komersial serta industri seandainya pemaju gagal memberikan kerjasama.
“Tiada lagi GST dan kita juga tidak kenakan SST maka pemaju sepatutnya membalas semula pengecualian yang diberikan kerajaan ini dengan mengurangkan harga rumah.
“Saya juga tidak mahu penjimatan yang diraih daripada pengecualian SST ini diterjemahkan kepada penambahan pakej-pakej tertentu di dalam sektor perumahan, sebaliknya saya mahu lihat harga dikurangkan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Tahunan Pemaju Perumahan Siri CEO Institut Rehda 2018 di sini.