Kerajaan telah menyasarkan empat strategi utama yang akan dijalankan dalam mengutamakan peningkatan inovasi dan penerimagunaan teknologi bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara berdasarkan laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) Keutamaan dan Penekanan Baharu yang dibentangkan baru-baru ini.
Strategi utama tersebut ialah memanfaatkan Revolusi Perindustrian Keempat (R.I 4.0) bagi melonjakkan peningkatan produktiviti dan daya saing, meningkatkan penerimagunaan teknologi bagi menghasilkan produk nilai tambah tinggi, menjajarkan penyelidikan dan inovasi bagi mempercepat pertumbuhan yang dipacu oleh inovasi, serta meningkatkan pembangunan kapasiti bagi meningkatkan tenaga kerja mahir.
Usaha berdasarkan empat strategi utama tersebut akan dilaksanakan bagi memberi dorongan kepada syarikat perniagaan tempatan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk meningkatkan aktiviti dalam rantaian nilai serta daya saing di peringkat global sewaktu berdepan kemasukan era R.I 4.0 kelak.
Kumpulan yang terlibat diharap mampu menangani pelbagai isu berkaitan inovasi, penerimagunaan teknologi, penyelarasan antara agensi serta pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan bernilai tinggi di samping bakat dalam bidang teknologi baharu selepas pelaksanaan empat strategi utama itu nanti.