BAGAN SERAI: Seorang pemandu ambulans maut selepas kenderaan dipandunya terbalik di Kilometer 194.5, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini, petang Rabu.
Dalam kemalangan sekitar jam 5 petang itu, lelaki berusia 22 tahun berkenaan maut di tempat kejadian manakala penumpang lelaki berusia 21 tahun pula mengalami kecederaan.
Ketua Operasi Balai Bomba Kamunting, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhamad Yassir Adnan berkata pihaknya menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam kenderaan tersebut.
“Kami menerima panggilan sekitar jam 5 petang. Mangsa yang tersepit diserahkan kepada pihak polis, manakala yang cedera diserahkan kepada pihak hospital,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika ambulans berkenaan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur setelah menghantar pesakit di Sungai Petani, Kedah.