TAHNIAH! Anda telah membanggakan rakyat Malaysia dan Asia keseluruhannya.
Redha Rozlan, 30 atau dikenali sebagai Mat Redho merupakan seorang peserta yang selalu menyertai acara sukan ekstrem seperti Ninja Warrior.
Terbaru, dia telah memenangi tempat pertama dalam Ninja Challenge League 2018 yang diadakan di Perth, Australia.
Perkara itu dikongsikan sendiri olehnya di Instagram (IG) miliknya.
“Tak pernah aku lupa bawa jalur Gemilang ini kemana-mana… walau pun kecil tapi berat beban nak galas… Alhamdulillah podium,” tulisnya di IG miliknya.
Dia mengucapkan syukur terutamanya kepada isterinya yang sentiasa menyokong perjuangannya selama ini. Di samping itu, Mat Redho juga menyebut bahawa beliau tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan tajaan luar.
“Alhamdulillah, setakat ini sahaja yang saya mampu. Terima kasih pada isteri yang selalu teman dan jerit sambil dukung anak kami.
“Kami ada tabung sendiri untuk keluar negara… macam biasa… kalau nak ke pertandingan luar pasti pecah tabung punya… dalam masa sama tak pernah pun putus asa cuba nasib untuk ditaja,” tulisnya lagi.
Tempat kedua disandang oleh Jake Murray dan Cameron D Silda di tempat ketiga.
Sebelum ini, dia juga pernah menyertai American Ninja Warrior Musim ke 9 dalam kumpulan Asia, Sasuke Asean Cup 2014 dan Sasuke Vietnam 2016, 2017 dan 2018.
Dan Mat Redho juga pernah menjadi Juara Fear Factor Selebriti Malaysia musim kedua berpasangan dengan pelakon Erin Malek pada 2014.
Malah sebelum ini dia juga pernah dikecam melakukan aktiviti ekstrem terjunan ‘rope swing’ bersama anak perempuannya, Mecca Mikaela, 2.
Bagaimanapun dengan kejayaan terbaru itu, rata-rata netizen melahirkan rasa bangga dengan kejayaan yang dikecapi itu yang telah membanggakan rakyat Malaysia.
Malah ruangan komen Instagramnya dipenuhi dengan sokongan dan ucapan tahniah daripada para pengikut kerana tidak berputus asa dalam mengharumkan nama Malaysia dalam sukan lasak ini.
“Terima kasih, harumkan nama Malaysia,” tulis azian_abubakar
“Alhamdulillah… tahniah!,” tulis azlinjais
“Bangga dengan anda… tahniah,” tulis cddinchimm
“Tahniah, abang memang layak, memang sangat terbaik,” tulis naim.zi.