SINGAPURA: Sejenis spesies bunga orkid bakal dinamakan sempena nama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, dan bakal dipertontonkan kepada umum, esok (Ahad).
Kementerian Luar Singapura dalam satu kenyataan memaklumkan penamaan bunga orkid itu adalah seiring lawatan Dr Mahathir dan isteri ke kota raya ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-33.
Selain itu, Dr Mahathir akan turut dikurniakan Ijazah Doktor Kehormat Undang-undang oleh alma mater beliau, National University of Singapore (NUS).
Lawatan kerja dua hari atas jemputan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong itu akan bermula dengan upacara sambutan oleh Presiden, Halimah Yacob.
Selain menghadiri perjumpaan dengan Hsien Loong, Dr Mahathir dan isteri akan diraikan pada majlis jamuan tengah hari rasmi.
Malah, Menteri Kanan Emeritus, Goh Chok Tong akan turut meraikan Dr Mahathir pada majlis jamuan tengah hari.
Dalam lawatan itu, Dr Mahathir akan turut diiringi oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan beberapa pegawai kanan kerajaan.