KUALA LUMPUR:
Di sebalik tuntutan tugas yang mencabar dan terikat sepanjang masa, 20 pegawai dan anggota polis berjaya menakluk Gunung Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
Berbekalkan latihan intensif termasuk mendaki tangga menara pejabat setinggi 37 tingkat, kejayaan menakluk gunung tertinggi di Asia Tenggara itu berbaloi apatah lagi ia turut mengukuhkan semangat sepasukan.
Itulah kejayaan pegawai dan anggota Pasukan Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Ketua Polis Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), melalui ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu.
Ketua Pasukan AMLA, Datuk Khalil Azlan Chik yang mengetuai ekspedisi itu berkata, ia antara aktiviti khusus mengukuhkan semangat pasukannya sesuai dengan tanggungjawab lebih mencabar pada hari ini.
“Ia disertai 20 pegawai dan anggota pelbagai pangkat di mana kami berpecah kepada dua kumpulan memulakan pendakian kami pada 3 dan 4 Oktober lalu.
“Latihan persediaan diadakan selama enam bulan termasuk melakukan hiking di Batu Condong di Kemensah sebelum ia lebih intensif dengan mendaki tangga di pejabat kami yang terletak di Menara KPJ di Jalan Tun Abdul Razak,” katanya semasa menghubungi Astro AWANI di sini, hari ini.
Jelasnya, segala persiapan dan pengurusan ekspedisi dikendalikan oleh Inspektor Mohd Hasnan Mohd Talaha yang mempunyai pengalaman mendaki gunung itu.
“Keutuhan kerjasama pasukan turut diuji ketika pendakian dilakukan apabila salah seorang pegawai yang menyertainya mengalami kecederaan kaki yang teruk dan hampir menggagalkan ekspedisi.
“Pegawai itu, Asisten Superintenden Norfalisa Hartini Kholin, mengalami kecederaan kaki ketika pasukan ekspedisi tiba di Laban Rata pada ketinggian 3,272 meter dari paras laut.
“Kecederaan kaki pegawai wanita itu turut menggusarkan ketua pasukan kerana objektif ekspedisi adalah memastikan kesemua peserta berjaya tiba di puncak Gunung Kinabalu,” ujarnya.
Kata Khalil, kecederaan itu sekali gus tidak memungkinkan untuk Hartini meneruskan perjalanan dan akan merencatkan tujuan sebenar ekspedisi pasukan AMLA.
“Alhamdulillah, pasukan AMLA ini dianggotai individu dari pelbagai latarbelakang, dan salah seorang daripada pegawai berpangkat Inspektor turut memiliki pengetahuan fisioterapi.
“Inspektor Zul Helmy Abd Halim memberi rawatan fisioterapi kepada Hartini dan kecederaan itu dapat dikurangkan sebelum kami dapat meneruskan pendakian terakhir ke puncak,” katanya.
Tambahnya, kesungguhan Hartini menamatkan pendakian ke puncak berhasil apabila dia menjadi peserta keempat tiba di kemuncak Gunung Kinabalu selepas melakukan pendakian kira-kira empat jam.
“Apabila tiba di puncak Gunung Kinabalu pada ketinggian 4,095 meter, segala usaha dan latihan terasa berbaloi malah saya sendiri hampir menitiskan airmata biarpun bukan kali pertama menakluk puncak tertinggi Asia itu.
“Saya nampak kesungguhan dan keutuhan pasukan ini yang saling bantu membantu apatah lagi ada di antara kami yang tak pernah melakukan aktiviti lasak seumpama ini.
“Hakikatnya, biarpun ia bukanlah satu aktiviti rasmi PDRM, namun ekspedisi dapat memperkukuhkan lagi semangat satu pasukan AMLA yang kami tanamkan selama ini,” katanya.
Melihat ke depan, Khalil melahirkan keyakinan banyak lagi ekspedisi yang akan dilakukan oleh pasukannya jika masa mengizinkan.