KUALA LUMPUR: Malaysia berpeluang membalas dendam tumpas 0-2 di tangan Vietnam pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini, apabila bertemu skuad ‘The Golden Dragons’ itu pada perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018.
Skuad Vietnam kendalian jurulatih dari Korea Selatan, Park Hang-Seo itu mara ke pentas final selepas mencatat kemenangan dengan agregat 4-2 ke atas Filipina.
Vietnam berjaya menewaskan pasukan Filipina yang dibimbing bekas jurulatih England, Sven-Goran Eriksson 2-1 di laman sendiri dalam aksi separuh akhir kedua malam ini.
Pada perlawanan separuh akhir pertama, Vietnam menewaskan pasukan ‘The Azkals’ 2-1 di Stadium Panaad, Bacolod, Filipina.
Malaysia pula mara ke perlawanan akhir selepas mengikat juara bertahan Thailand 2-2 pada aksi separuh akhir kedua di Bangkok, semalam.
Keputusan itu sudah mencukupi untuk skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe layak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, 1 Dis lepas.
Perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 akan menggunakan format timbal balik dengan skuad negara bakal melayan kunjungan Vietnam pada 11 Dis, sebelum aksi final kedua di Hanoi, 15 Dis ini.
— BERNAMA