Usahawan yang terlibat dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) digesa tampil berani menaikkan potensi syarikat untuk disenaraikan dalam Bursa Malaysia kerana prosesnya tidak semestinya kompleks mahupun melibatkan kos transaksi tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan berkata, pihaknya kini berusaha menjadi rakan kongsi perkembangan sektor PKS dengan memainkan peranan aktif bagi memastikan wujud keseimbangan yang betul antara perlindungan pelabur di samping mengadakan pembiayaan alternatif yang membuka potensi persaingan syarikat.
“Mempunyai keseimbangan yang betul adalah penting kerana ia berfungsi bukan sahaja untuk memberi manfaat kepada syarikat senaraian awam (PLC) kami, tetapi juga baik untuk pasaran Malaysia dan pelabur.
“Kami menetapkan matlamat perniagaan berdasarkan keupayaan untuk mengakses modal melalui platform yang berupaya membuka mata para usahawan dengan peningkatan kredibiliti ke arah hubungan rangkaian yang lebih luas,” katanya pada seminar ‘Going Public: Unlocking the Potential of SMEs’ di Ibu Pejabat Bursa Malaysia, baru-baru ini.