KUALA LUMPUR: Polis berjaya menahan dua suspek kes samun dan tetak seorang lelaki dalam kejadian pagi Selasa di Plaza Sri Sinar, Segambut.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy berdasarkan siasatan dan risikan pihaknya berjaya menahan kedua dua suspek masing masing berusia 24 dan 33 tahun itu jam 10 malam Selasa.
Kes disiasat dibawah Seksyen 393/397 Kanun Kesesksaan (cubaan melakukan samun menggunakan senjata).
Dalam kejadian kira kira jam 8.30 pagi Selasa, mangsa seorang lelaki berusia 24 tahun cedera di bahagian kepala dan badan selepas bergelut dengan suspek ketika mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Plaza Sri Sinar Segambut.
Video mangsa tular di laman sosial sejak pagi Selasa, dalam video berdurasi 20 saat itu memaparkan mangsa dalam keadaan terduduk di hadapan kedai dalam berlumuran darah. Turut kelihatan kapak dipercayai digunakan suspek untuk menetak mangsa serta kad ATM dipercayai milik mangsa.