KUALA PERLIS: Dua mayat dipercayai suami isteri, ditemukan terapung di perairan Kuala Perlis berhampiran sempadan Thailand, pada petang Sabtu.
Mayat berkenaan ditemukan tidak berapa lama selepas sebuah bot nelayan tempatan menemui sebuah bot jenis fiber dipercayai dinaiki mangsa yang bergerak di lautan tanpa penumpang.
Menurut sumber, mereka percaya mangsa telah terjatuh ke dalam laut akibat angin kuat kerana enjin bot mangsa masih hidup dan bergerak perlahan.
Kata mereka, mangsa juga berasal dari Bukit Tok Po, Kuala Perlis.
Mayat berkenaan dibawa ke Pelabuhan Maritim Kuala Perlis untuk dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah di Kangar, sebelum dituntut ahli keluarga.
Setakat ini, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi.