PUTRAJAYA: Pelancong yang mengunjungi Malaysia sudah tidak lagi datang sekadar untuk berbelanja dengan menginap di hotel mewah di sekitar bandar.
Menurut Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof, sejak tiga tahun kebelakangan ini, rata-rata pelancong mahukan pengalaman unik dengan melihat aktiviti kebudayaan dan melihat keindahan semula jadi di negara ini.
“Trend di mana pelancong datang ke Malaysia untuk berbelanja sudah berubah. Dahulu mereka menginap di hotel mewah lima bintang, tetapi sekarang mereka mula menginap di hotel lebih murah.
“Oleh sebab itu, secara tidak langsung, mereka akan lebih berbelanja produk-produk yang lebih unik dan meningkatkan pengalaman mereka di negara ini. Bukan itu sahaja, pelancong ini juga dapat meningkatkan tempoh lawatan mereka di sini.
“Tentunya trend ini membantu industri pelancongan, kerana apabila jumlah bermalam meningkat, mereka akan lebih berbelanja di Malaysia,” kata Musa ketika ditemui di Putrajaya pada Sabtu.
Jelasnya, perubahan trend ini juga bermaksud penggiat industri pelancongan perlu menyedari keperluan untuk menawarkan produk yang lebih banyak dan unik.
“Ini mampu menambah pendapatan, khususnya peniaga di Malaysia. Jika kita boleh tawarkan lebih banyak produk, pelancong apabila tiba di bandar besar akan pergi ke negeri-negeri lain, dan jika mereka belanja RM500 sehari, kalau lagi lama, lagi banyak dia belanja,” kata Musa.
Musa juga mengambil contoh produk pelancongan terkenal seperti homestay (inap desa) yang membenarkan pelancong menikmati budaya dan merasai kehidupan di kampung-kampung,
“Bagi Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, kita mahu kawasan luar bandar menerima limpahan pendapatan hasil dari kesan penggandaan.
“Sebagai contoh, kita tahu pelancong dari Jepun amat meminati untuk melihat bagaimana kita menternak ayam dan lembu, jadi homestay ini bukan sahaja menjadi tempat menginap, tetapi tempat mereka mendapat pengalaman itu.
“Mereka dapat menyaksikan sendiri pakaian kita, budaya kita, makanan kita,” kata Musa.
Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata industri pelancongan juga menjadi penyumbang pertukaran asing kedua terbesar kepada negara dengan mencatatkan ketibaan 25.9 juta pelancong dan menjana pendapatan RM82.2 bilion, pada tahun lepas.