VIENNA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selamat tiba di ibu kota Austria untuk lawatan kerja selama tiga hari bermula Ahad hingga Selasa (20 – 22 Januari 2019).
Beliau yang menaiki jet kerajaan ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali bersama delegasi negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Vienna pada jam 4 petang waktu tempatan.
Dr Mahathir dijadual memulakan lawatan kerja pada Isnin dengan bertemu Canselor Vienna, Sebastian Kurz dan Presiden republik itu, Alexander van der Bellen.
Kemudian, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Komuniti Perniagaan Austria untuk mengetengahkan potensi dan peluang pelaburan serta perdagangan di Malaysia, sebelum menyampaikan ceramah bertajuk ‘Fighting Corruption in Malaysia: Achievements, Challenges and Perspectives’ di Akademi Anti-Rasuah Antarabangsa (IACA).
Seterusnya, Dr Mahathir mengambil kesempatan untuk bertemu kira-kira 330 diaspora Malaysia yang menetap di Austria dan Republik Slovak dalam satu majlis minum petang di Grand Hotel Wein.
Selasa menjadi kemuncak lawatan apabila pemimpin berusia 93 tahun itu akan menyampaikan ucaptama di Persidangan Agung dan Mesyuarat Tahunan ke-10 Persatuan Penguatkuasa Anti-Rasuah Antarabangsa (IAACA) di Vienna International Centre sebelum berlepas pulang pada sebelah petangnya.
Ini merupakan lawatan kerja kedua Dr Mahathir ke Austria sejak kali terakhir pada 1987, dan yang pertama sejak menduduki semula kerusi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14.