JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan tidak menerima sebarang laporan mengenai pelajar Malaysia terjejas dalam kejadian banjir buruk yang melanda bahagian utara Queensland, Australia.
Menterinya Dr Maszlee Malik berkata pada masa sama pihaknya bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar bagi mendapatkan perkembangan terkini berkaitan bencana itu.
“Saya akan rujuk kembali dengan Education Malaysia (Australia) (bagi mendapatkan maklumat terkini),” katanya ketika ditemui pada majlis Sirih Pulang ke Gagang di Kampung Skudai Kiri, di sini pada Selasa.
Maszlee berkata pihaknya akan mengambil tindakan segera sekiranya ada pelajar Malaysia terbabit dalam bencana itu.
Sebelum ini dilaporkan 50 rakyat Malaysia yang berada di bandar Townsville, Queensland selamat.
Dalam satu kenyataan semalam, Wisma Putra berkata risiko di kawasan terjejas adalah tinggi kerana hujan lebat dijangka berterusan untuk beberapa hari akan datang.
Banjir itu yang disifatkan berlaku “sekali dalam seabad” berpunca daripada hujan lebat tidak normal semasa musim tengkujuh dan memaksa beribu-ribu penduduk meninggalkan rumah masing-masing kerana hujan lebat dijangka berterusan.
Mengenai majlis itu, Maszlee yang juga Anggota Parlimen Simpang Renggam, berkata program lebih bersifat majlis kesyukuran kerana beliau dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Skudai Kiri.
Katanya kali terakhir beliau berkunjung ke kampung tersebut ialah sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, Mei tahun lepas.
“Kedatangan hari ini juga bertujuan memberikan motivasi kepada penduduk Skudai Kiri bahawa mereka juga mampu melakukan sesuatu untuk negara jika bersungguh-sungguh,” katanya.
–BERNAMA