KUALA LUMPUR: Bekas penjaga gol skuad kebangsaan, Syed Adney Syed Hussein mengintai peluang untuk kembali beraksi dalam Liga Malaysia apabila jendela perpindahan pemain kali kedua bagi musim 2019 dibuka awal Mei ini.
Pemain berusia 32 tahun itu berkata beliau serta bekas penjaga gol bawah 23 (B-23) negara, Muhammad Zamir Selamat masih berharap ada pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat mereka.
Untuk rekod, kali terakhir Syed Adney beraksi dalam Liga Malaysia adalah pada 2017 ketika bersama Pulau Pinang, manakala Muhammad Zamir, 29, masih gagal mendapatkan pasukan baharu selepas Melaka memutuskan untuk tidak menyambung kontraknya musim lepas.
“Saya pernah menjalani latihan percubaan bersama Kelantan sebelum ini, tetapi sehingga kini tiada sebarang khabar berita daripada mereka walaupun pada awalnya, saya difahamkan mereka berminat mendapatkan khidmat saya, dan perkara sama turut berlaku kepada kawan baik saya, Muhammad Zamir.
“InsyaAllah, pada jendela perpindahan pemain kedua, saya berharap kita berdua akan mendapatkan pasukan baharu dan saya tidak kisah sama ada pasukan berkenaan dari negeri mana kerana keutamaan kami ketika ini adalah kembali beraksi dalam perlawanan kompetitif,” katanya.
Syed Adney berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mewakili pasukan legenda Real Madrid menentang pasukan Nivea Men sempena program Nivea Man – ‘My Padang’ yang memasuki musim kelima, di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, pemain kelahiran Liverpool, England itu, yang pernah membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super 2010, bertekad memberi aksi terbaik sekiranya ada pasukan yang berminat mendapatkan khidmatnya selepas ini.
Dalam perkembangan berasingan, Syed Adney mengakui kemunculan beberapa pemain muda dalam skuad Harimau Malaya seperti Muhammad Safawi Rasid dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid membuktikan semua pemain tidak kira muda atau senior perlu bekerja lebih keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Beliau pada masa sama mengakui kehadiran pemain naturalisasi negara seperti Mohamadou Sumareh yang berasal dari Gambia, banyak membantu meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.
“Bagi saya perkara ini (kehadiran pemain naturalisasi) adalah positif kerana Sumareh banyak membantu meningkatkan kualiti permainan skuad negara,” jelas Syed Adney.
— BERNAMA