Sumbangan SME Bank terhadap pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana di negara ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa setelah menerima Anugerah Merit untuk kategori Projek Pembangunan Terbaik di bawah Projek Tanggungjawab Korporat SME Bank Y-Biz Challenge dan dua Anugerah Khas iaitu Laporan Kemampanan Terbaik dan Laman Web Terbaik di Mesyuarat Tahunan ke-42 Persatuan Institusi Kewangan dan Pembangunan Asia serta Pasifik (ADFIAP) di Oman, baru-baru ini.
Pertandingan SME Bank Y-Biz Challenge yang memenangi Anugerah Merit merupakan program SME Bank yang dianjurkan khas untuk pelajar sekolah menengah di Malaysia. Dilancarkan pada tahun 2012, seramai 2,169 orang pelajar dari 522 buah sekolah telah mendapat manfaat dari pertandingan ini dan berpandukan matlamat untuk menyemai minat terhadap keusahawanan di kalangan remaja.
Kemenangan dalam kategori Laporan Kemampanan Terbaik pula adalah kemenangan hatrik buat SME Bank dan telah membuktikan bahawa usaha SME Bank untuk menjadi organisasi mampan yang prihatin terhadap kesejahteraan komuniti yang dibantunya telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Manakala, laman web yang baru dikemaskini dan berinformasi juga telah melayakkan SME Bank untuk merangkul Anugerah Laman Web Terbaik. Mengambil kira akan keperluan trend pengguna yang pelbagai dan keinginan untuk memberikan pengalaman terbaik untuk pelanggan, pihak bank telah menaik taraf laman webnya agar ia menjadi lebih responsif terhadap pelbagai jenis gajet.