Dalam bisnes, pasti ada naik turunnya. Kadang-kadang kita bermula dengan bagus, ada banyak untung tetapi lama-lama bertukar menjadi perlahan dan mengalami kerugian. Kadang-kadang, kita bermula dengan menempuh fasa kerugian, tetapi tiba-tiba, saat rasa ingin berputus asa, Allah bantu rancakkan rezeki perniagaan tiba-tiba sehingga maju.
Dalam bisnes, pasti akan ada sahaja halangan dan rintangannya. Rasa putus asa itu biasa, akan tetapi, patutkah kita berhenti atau terus berusaha dan menanti? Berikut adalah tip untuk untuk bertahan dalam bisnes dan teruskan berusaha dan bersabar.
#1-Jangan Tiru Orang
Banyak kita perhatikan sekarang, ramai peniaga menjual barangan yang hampir sama dengan cara yang sama. Memang bagus jika kita ingin meniru kejayaan orang lain tetapi janganlah kita tiru bulat-bulat. Cuba reka acuan sendiri dan berjaya dengan cara yang tersendiri.
Jangan jadi usahawan klon kerana nanti orang tidak akan mengiktiraf usaha dan pencapaian anda sepenuhnya. Bina empayar bisnes yang kukuh bermula dari awal dengan idea dan usaha anda sendiri. Contohnya, Syarikat ‘The Lorry’, konsepnya lebih kurang syarikat ‘Grab’ akan tetapi, modus operandinya berbeza dan lihat pecapaian mereka pada hari ini, kedua-duanya berjaya.
#2- Jangan Terlalu Bercita-Cita Tinggi
Memang bagus sekiranya kita bersemangat waja dan bercita-cita tinggi untuk berniaga dan mengembangkan perniagaan secara meluas. Akan tetapi, sedarlah niat dan perancangan kita ada batasannya dan terkadang apa yang kita rencanakan tidak selalunya selari dengan apa yang Allah dah tetapkan.
Sememangnya kita harus sentiasa bersikap positif, akan tetapi jangan terlalu mencapai sesuatu matlamat dalam perniagaan dengan segera dan tinggi dalam masa yang singkat apatah lagi kalau baru mahu bermula. Spesifikkan matlamat kita, berapa target pelanggan kita, berapa jumlah keuntungan yang kita ingin dapatkan dalam masa sehari, seminggu, sebulan dan sebagainya.
Bermulalah dengan jumlah yang kecil agar tidak terlalu kecewa bila gagal dan naikkan matlamat apabila sudah ada perkembangan dan kejayaan kecil. Bila kita setkan spesifik target, kita boleh fokus untuk berniaga dengan lebih baik berbanding dengan terus mensasarkan untuk cari pelanggan atau keuntungan yang sebanyak mungkin.
Biarlah kecil tapi meninggalkan impak tertentu di suatu kawasan atau komuniti berbanding pergi merata-rata tetapi tiada hasil yang signifikan dan tidak disedari orang kewujudan bisnes anda.
#3-Jangan Takut Untuk Jual Murah
Mungkin anda rasa produk anda sangat bagus, mungkin anda rasa produk anda memang berbaloi untuk dimiliki dan terbukti berkesan dan membantu. Akan tetapi itu apa yang anda rasa, bukan orang lain rasa. Orang luar seperti suspek dan prospek masih belum mengenali produk anda. Jadi, jangan jangkakan mereka akan terus membelinya.
Mungkin anda rasa anda sudah letakkan terlalu banyak masa, tenaga, komitmen untuk produk anda dan harga yang anda letakkan adalah setimpal akan tetapi itu orang lain, bakal pelanggan, mereka tidak nampak semua itu. Anda juga tidak boleh jual terlalu murah kerana anda sendiri ada komitment yang perlu ditanggung setiap bulan. Kalau tiada keuntungan langsung, asyik duit keluar tetapi tidak masuk-masuk, itu bukan bisnes. Jadi bagaimana?
Untuk terus bertahan, anda boleh bermula dengan keuntungan yang kecil dahulu. Kemudian, boleh naikkan dari semasa ke semasa jika relevan dan berkembang dengan baik. Lama-kelamaan, jika mereka sudah mengenali anda, produk anda, kelebihan produk anda, barulah anda naikkan harga yang setimpal dengan nilai produk anda. Kerana mereka sudah mengalami jenama anda dan manfaatnya, maka anda boleh terus survival dan mengembangkan perniagaan.
Jikalau daripada awal lagi, anda sudah letakkan harga yang tinggi kerana takut rugi, pasti anda akan lebih rugi lagi sebenarnya. Pelanggan tidak akan mudah untuk membeli barangan baharu dengan penjual baharu. Jika mereka rasakan harga produk anda mahal sebelum sempat mengalami pengalaman jenama itu sendiri, andalah yang rugi kerana mereka ada potensi untuk jadi pelanggan setia anda dalam tempoh yang lama. Mereka jugalah yang boleh jadi agen promoter anda secara percuma. Pasti rugi jika anda kehilangan mereka ini bukan?
Jika mereka rasakan harga produk anda mahal sebelum sempat mengalami pengalaman jenama itu sendiri, andalah yang rugi kerana mereka ada potensi untuk jadi pelanggan setia anda dalam tempoh yang lama. Mereka jugalah yang boleh jadi agen promoter anda secara percuma. Pasti rugi jika anda kehilangan mereka ini bukan?
#4-Sabar, Sabar & Bersabarlah
Di dalam Al-Quran sendiri ada menyebut, jika anda mengalami masalah dalam hidup, maka sebagai seorang Muslim, anda harus solat dan sabar. Allah pasti mengkabulkan setiap permintaan hambanya dan yang paling pasti, Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Apa yang kita rasa sebagai peluang yang baik mungkin sebenarnya akan jadi asbab kepada dosa kita.
Sebagai contohnya, kita berdoa untuk jadi kaya dan juga pada masa yang sama berdoa untuk menjadi seorang hamba yang baik, mungkin juga Allah hadkan rezeki perniagaan kita kerana jika kita jadi kaya raya, kita jadi sibuk, lupa, alpa untuk fokus jadi seorang hamba yang baik. Sebaliknya, jika kita hanya mendapat untung yang sedikit, mungkin kita ini akan sentiasa berdoa dan meminta tolong daripada Allah, jadi hasil pergantungan kita sentiasa tinggi dengan rasa tawakal kita. Maka, Allah akan lebih redha dan rezeki kita berkat. Begitulah sebaliknya.
Jadi, apa-apa sahaja yang kita mahukan dalam bisnes kita, berusahalah, berdoalah, dan bersabarlah. “KUN FAYAKUN”. Percayalah, tidak akan terjadi sesuatu tanpa izin daripadaNya, maka sentiasalah bersangka baik kepada Allah dan redhalah dengan rezeki yang Allah berikan. Semoga anda semua berjaya, menjadi usahawan yang berjaya, di dunia juga di akhirat. Insha-Allah.
Sumber Rujukan:
https://www.entrepreneur.com/article/301097
Penulis: Nadia Nazri