MANILA: Barang kemas milik bekas wanita pertama Filipina, Imelda Marcos akan dijual dan hasilnya akan disalurkan untuk rakyat negara itu.
Badan pemulihan aset kerajaan telah mendapat kebenaran Presiden Rodrigo Duterte untuk menjual salah satu daripada tiga set barang kemas yang dirampas kira-kira tiga dekad lalu selepas kejatuhan bekas pemimpin diktator, Ferdinand Marcos.
Difahamkan, koleksi barang kemas termasuk berlian 25 karat yang nilainya mencecah AS$5 juta (kira-kira RM21 juta) dirampas di Hawaii di mana Ferdinand dan Imelda tinggal dalam buangan.
Kerajaan pernah cuba untuk melelong koleksi barang kemas tersebut, namun dibantah Imelda.
Tiga set barang kemas tersebut yang dianggarkan bernilai AS$6 juta (RM25 juta) kini ditempatkan di peti besi bank pusat.
Imelda terkenal kerana gemar berbelanja mewah dan mempunyai koleksi ribuan kasut luar biasa.