MELAKA: Kerajaan negeri Melaka perlu mencari kaedah baharu bagi menarik lebih ramai pelancong memilih untuk menginap di negeri itu, sekali gus meningkatkan pendapatan sektor pelancongan negeri.
Pengerusi Majlis Penasihat Bandar Pintar (Smart City) Melaka, Khoo Poay Tiong, berkata, kaedah berkenaan penting berikutan kedatangan kebanyakan pelancong dari dalam dan luar negara lebih gemar memilih untuk balik hari dan tidak bermalam di sini.
“Kita perlu melihat semula produk pelancongan sedia ada yang boleh dinaiktaraf dan memikirkan pakej lebih menarik bagi memastikan pelancong yang berkunjung ke Melaka dapat tinggal lebih daripada sehari,” katanya pada sidang media, di sini pada Khamis.
Khoo, yang juga Anggota Parlimen Kota Melaka, berkata ia merupakan cabaran kepada kerajaan negeri supaya dapat meningkatkan kadar penginapan.
Beliau berkata berdasarkan kajian purata penginapan berbayar oleh Tourism Malaysia (TM), jumlah penginapan hotel di negeri ini bagi tempoh Januari hingga September tahun ini bagi pelancongan domestik dan antarabangsa adalah seramai 3.3 juta.
Tahun lepas sekitar 4.8 juta pelancong menginap di hotel berbanding 17.02 juta pelancong berkunjung ke negeri itu.
Khoo berkata Smart City akan mengumpulkan semua pengusaha industri pelancongan negeri untuk mengenal pasti kaedah berkesan bagi menarik lebih ramai pelancong untuk bermalam di negeri itu.
“Antara langkahnya, kita akan menambahbaik aplikasi pelancongan sedia ada agar lebih mesra pengguna dan menarik bagi membantu menyediakan sebarang maklumat pelancongan khususnya kepada produk-produk sedia ada dan terbaru, ” katanya.
Di samping itu, katanya, kerajaan negeri juga akan mengambil pendekatan untuk mengadakan pertemuan dengan pengusaha industri pelancongan beberapa negara khususnya dari China bagi memperkenalkan pakej menarik yang boleh memastikan pelancong tinggal lebih lama di negeri ini.
— BERNAMA