PUCHONG: Lari lintang pukang dan seperti tidak ‘jejak bumi’ ketika diserbu.
Itulah suasana sewaktu operasi yang dijalankan oleh sepasukan penguatkuasa dari Unit Operasi Khas Pasukan Taktikal Khas Jabatan Imigresen Putrajaya (PASTAK) bersama pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Selangor di sebuah pusat hiburan dan pusat urut di Bandar Puchong malam tadi.
Ketika serbuan kesemua wanita warga asing yang bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Pelanggan (GRO) di pusat hiburan terbabit bertempiaran melarikan diri.
Bagaimanapun tidak jauh, kerana kesemua berjaya ditahan.
Dalam usaha mereka meloloskan diri, ada dalam kalangan mereka yang terjatuh dan cedera di kaki.
Ada juga yang merempuh dan bergelut dengan pihak imigresen agar tidak dicekup.
Manakala sebuah pusat urut berhampiran pula yang dipercayai menyajikan wanita warga asing sebagai pekerja seks turut digempur.
Ketika serbuan, mereka cuba melarikan diri melalui pintu belakang premis.
Bagaimanapun usaha mereka turut gagal.
Operasi turut menemui sebuah pusat urut disyaki pusat urut seks songsang yang dikendalikan warga asing.
Pintu premis terbabit terpaksa dipecahkan setelah gagal mendapat kerjasama.
Pemeriksaan menemui kondom dan peralatan seks di premis berkenaan.
Ketika pemeriksaan ada antara warga asing terbabit gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri.
Hasil serbuan seramai 39 wanita warga Vietnam termasuk seorang remaja bawah umur serta seorang wanita warga Indonesia ditahan.
Turut ditahan lapan lelaki warga Vietnam dipercayai bekerja sebagai tukang urut lelaki serta tiga lelaki warga Bangladesh pekerja pusat hiburan.
Enam lelaki warga tempatan dipercayai penjaga kepada wanita-wanita terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat sah peraturan imigresen.
Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 15 hingga 40 tahun dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor untuk tindakan lanjut.