KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Parlimen mengambil tindakan terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng susulan rumusan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bahawa wang GST tidak hilang.
BACA: Kutipan GST RM19.4 bilion tidak hilang – Pengerusi PAC
Beliau mendakwa rumusan itu membuktikan Guan Eng telah berbohong kerana mengaitkan Barisan Nasional (BN) dengan dakwaan kehilangan wang GST.
“Laporan PAC yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat hari ini merumuskan secara rasminya bahawa wang GST tidak hilang atau dirompak BN seperti didakwa oleh Guan Eng tahun lepas.
“Kerajaan PH layak digelar sebagai sebuah kerajaan kangaroo atau kerajaan yang gagal dan tidak mematuhi prinsip rule of law jika Parlimen tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Lim Guan Eng yang telah jelas terbukti memfitnah dan berbohong di dalam Dewan Rakyat yang mulia,” katanya dalam status terbaharu yang dimuat naik di laman Facebooknya pada Isnin.
Malah, secara sini, katanya jika tindakan tidak diambil ke atas Menteri Kewangan itu, kerajaan dianggap mengamalkan “Rule of Guan Eng“.
“Jika Guan Eng terlepas dari tindakan setelah membuat pembohongan amat dashyat ini, maka Rakyat akan mempunyai keraguan untuk semua jawapan-jawapan yang diberi oleh mana-mana menteri PH dalam Parlimen.
“Kita tengok kerajaan PH ini mengamalkan ‘Rule of Law‘ atau ‘Rule of Guan Eng‘,” ujarnya.
Pada Isnin, Pengerusi PAC berkata jawatankuasa itu merumuskan tiada kehilangan wang RM19.4 bilion kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Hasil GST yang tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST telah digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Ia adalah antara enam rumusan dibuat PAC yang memulakan prosiding mengenai isu berkenaan sejak 12 September tahun lalu melibatkan 12 saksi.