(Siapa kata KLWBC 2020 dipenuhi acara skematik dan berkonsepkan idea “sekolah tua”?
Penganjuran Festival Filem, Sayembara Novel & Puisi Bebas Tema, Gig Digital, Book On The Street dan Maskara Kambek tanda linggonya khusus buat generasi milenial)
Sepuluh minggu lagi akan bermula rali sambutan Festival Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020.
Mulai 18 hingga 23 April, Dataran Merdeka akan menjadi lokasi induk bagi meraikan minggu pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai WBC ke 20.
Mulai 23 April juga, Kuala Lumpur secara rasmi diiktiraf sebagai Ibu Kota Buku Dunia hingga 22 April 2021.
*Siapa yang isytihar?
Pengisytiharan akan dilakukan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Warisan PBB (Unesco).
Kuala Lumpur menjadi tuan rumah ke 20 pada tahun 2020.
Acara WBC diperkenalkan Unesco pada 2001 dan Madrid dipilih Ibu Kota Buku Dunia yang pertama.
Pada masa ini, hak tuan rumah masih dipegang kota Sharjah, UAE sebagai tuan rumah WBC ke 19.
*Bila tarikh pengisytiharan?
23 April setiap tahun. Tarikh ini dikhaskan Unesco dalam tradisi pengisytiharan WBC. Ia bersempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.
Kuala Lumpur akan meraikan minggu pengisytiharan KLWBC 2020 mulai 18 April.
Terdapat hampir 50 acara akan dijalankan sepanjang Festival KLWBC 2020 sehingga 23 April.
Acara kemuncak pada 22 April jam 9 malam, apabila arca rasmi WBC akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir akan menerima Arca WBC daripada wakil Sharjah selaku tuan rumah ke 19.
Selepas festival dan pengisytiharan, untuk tempoh setahun, lebih 300 acara sudah diatur bagi mengisi sambutan KLWBC 2020 dan akan tamat pada 22 April 2021.
*Siapa pemegang taruh KLWBC 2020?
Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Perdana Menteri, selaku pemangku Menteri Pendidikan menjadi Pengerusi Bersama KLWBC 2020 dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula mengetuai kempen besar-besaran pelaksanaan KLWBC 2020.
Status DBKL sebagai agensi tuan rumah mewakili Kementerian Wilayah Persekutuan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan bertindak sebagai Pengerusi Jawatan Kuasa Pelaksana KLWBC 2020.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku agensi utama Kementerian Pendidikan, menyediakan hampir 50 acara sepanjang KLWBC 2020.
Selain itu Majlis Tindakan Buku Negara (MTBN), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Perbadanan Kota Buku (PKB) dan 150 NGO ikut membantu.
*Apa matlamat KLWBC 2020?
Mudah. Ia mesti selaras dengan agenda Unesco. Matlamat KLWBC 2020 ialah meningkatkan minat membaca dan akses perbukuan di Malaysia.
Dalam erti kata lain, KLWBC 2020 bertangggung jawab mempromosi proses membina budaya membaca serta membangunkan akses perbukuan kepada masyarakat.
Sekali gus meraikan kadar celik literasi di negara ini agar berfungsi sebagai sumber penyebaran ilmu.
Matlamat Unesco menjadikan proses pembacaan dan perbukuan sebagai asas meningkatkan kualiti peradaban sosial dan tamadun minda negara bangsa.
Tidak hairanlah, KLWBC 2020 menyediakan lebih 300 acara berorientasikan budaya membaca dan akses perbukuan.
Namun, jangan berprasangka melulu. KLWBC 2020 bukan acara berbentuk skematik dan “sekolah tua”.
KLWBC 2020 secara relatif disesuaikan dengan minat dan trend generasi milenium.
Ia bukan lagi senario tepu yang dimonopoli mentaliti zaman boomers.
Pembaharuan dan perubahan harus dilakukan dalam membina dan memperkasakan budaya membaca.
Imej perbukuan harus dijenamakan semula dan tidak dilihat menyerong jauh dari aspirasi gaya hidup anak muda.
Di seluruh dunia, membangunkan minat membaca menjadi cabaran besar terutama bagi negara membangun.
Malaysia sendiri mengalami krisis defisit membaca. Inddustri buku semakin suram kerana generasi muda mula meminggirkan bacaan fizikal.
Lebih buruk lagi, pemikiran “sekolah tua” gagal memahami gaya hidup generasi digital.
Era kandungan digital dan ledakan penggunaan media sosial yang memuncak dalam sedekad ini, menjadikan gaya hidup membaca produk fizikal terjejas teruk.
Jumlah pengguna Internet domestik kini mencecah 26 juta orang. Secara populasi, 79 peratus rakyat Malaysia berada atas talian digital.
Secara purata pula, 75 peratus rakyat Malaysia menghabiskan masa selama tiga jam sehari di laman media sosial.
Laporan Digital 2018 Hootsuit dan We Are Social memberi gambaran jelas: budaya membaca secara fizikal mahu pun digital telah dan sedang mengalami defisit minat yang teruk.
Media sosial menguasai budaya atas talian dengan terbentuknya koloni netizen.
Manakala penguasaan kandungan penstriman mula mengisi gaya hidup di paltform digital sejak teknologi 4G diperkenalkan pada 2008.
Kesan digitalisasi makin meminggirkan pengaruh buku dan bahan bacaan fizikal.
Secara purata rakyat Malaysia hanya membaca 1.7 muka surat sehari. Jauh di belakang syarat Unesco untuk mencapai 15 buku setahun.
Kajian The World’s Most Literate Nation (Negara Paling Celik Huruf Sejagat) meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-53.
Sekadar bandingan, Singapura berada di kedudukan ke-36.
*Kalau KLWBC 2020 bergaya milenial, apa buktinya?
Anak muda semakin menyisihkan diri daripada minat membaca. Namun, realiti tidak bererti buku sedang menuju jalan mati.
Kita akui, di kalangan anak muda, angka penggila filem dan muzik sangat tinggi.
Selain itu, di negara kita, sejak 2006 telah lahir gerakan pengarah filem generasi muda mandiri (indiependent).
Koloni visual ini menjadi entiti unik yang mewarnai landskap baharu perfileman melalui kerja kreatif silang seni.
Mereka berminat menghasilkan filem bermanifestasikan karya sastera atau muzikalisasi puisi.
Cuma, gerakan silang seni antara pembikin filem muda dan karya sastera jarang diberikan sokongan.
KLWBC 2020 melantik Kuman Film dan pelopor indie, Amir Muhammad bagi menganjurkan Festival Filem KLWBC 2020.
Projek Festival Filem KLWBC 2020 adalah yang pertama seumpamanya di negara ini.
Projek ini khas untuk pembikinan filem pendek yang diangkat daripada karya sastera.
Festival ini menawarkan hadiah filem terbaik dan pelbagai award sampingan.
Sebagai pendorong, KLWBC 2020 menyediakan tujuh geran tajaan untuk membantu pengarah muda menghasilkan karya bagi menjayakan festival filem ini.
Tujuh pengarah muda yang bakal dipilih akan diberikan tanggung jawab memindahkan teks sastera ke nuansa filem.
Ini momen penting bagi membina landskap baharu migrasi bahan pembacaan ke filem.
Kita berharap, filem mampu mempromosi karya sastera dan menjadi medium publisiti baharu untuk nenghidupkan demand perbukuan.
Ledakan populariti karya sastera yang difilemkan diharap mampu mengalihkan minat anak muda untuk mencari karya asal.
Filem harus dilihat sebagai alat promosi buku. Ia tidak mudah, tetapi ini satu usaha.
Mati bermandi peluh mencari pembaharuan, jauh lebih baik dari mati beragan kerana enggan berubah.
Selain ditayangkan pada Minggu Festival Filem KLWBC pada Oktober nanti, semua filem ini akan dimuat naik ke platform digital.
Usaha ini sebagai pencetus untuk meyakinkan pelabur filem lauar lebar dan operator stesen TV.
Matlamatnya ialah penyediaan lebih banyak slot siaran drama atau telefilem berasaskan karya sastera yang berkualiti.
Ini bukan idea baharu. Usaha memindahkan karya sastera ke filem sudah lama mengubah landskap perbukuan dunia.
Ia sudah berlaku lebih setengah abad yang lalu.
Cuma, di negara kita usaha migrasi ini tidak diusahakan secara agresif.
Kalaulah ibarat enjin bot – ia sangat perlahan hingga sebelum tidur dan selepas bangun tidur pun – botnya masih di tempat yang sama.
*Sayembara PENA
Persatuan Penulis Nasional (PENA) diberi hak menganjurkan Sayembara Novel dan Puisi KLWBC 2020.
Pertama kali, Presiden Pena, Dr Saleeh Rahmad menjadikan sayembara ini bebas tema.
Tema sayembara sudah dianggap naratif didaktik dan mendokong budaya skematik.
Ketika generasi milenial bersikap anti doktrinisasi, tema yang ditentukan dalam sayembara dianggap warisan lapuk yang memusnahkan explorasi idea kreatif.
Sayembara Menulis Novel dan Puisi KLWBC 2020 dibuka mulai 1 Februari hingga 30 Ogos 2020.
Hadiah berjumlah RM105 ribu dikhaskan untuk sayembara ini.
PENA diberi hak eksklusif sebagai penganjur untuk menentukan kaedah pengurusan manuksirp, agihan hadiah, penjurian dan mengumumkan pemenang.
KLWBC 2020 terus mencari dimensi kreatif untuk menjenamakan acara ini sebagai merunut, merakyat dan membumikan kempen membaca.
Malah, medium komunikasi awam juga diperluaskan.
Kempen kesedaran KLWBC 2020 menggunakan strategi promosi popular.
*Funky raggae Papa Rock
Elemen lagu tema pula berkonsepkan irama “funky raggae” dengan linggo pop Melayu ciptaan dan nyanyian Papa Rock Datuk Ramli Sarip.
Lagu berdurasi 4 minit 30 saat berjudul Lagu Cinta Kuala Lumpur akan direlis Mac nanti.
Selain versi radio, lagu ini juga dimuat naik ke Youtube dan platform media sosial sebagai pengkongsian promosi.
Buku memang budaya ilmu. Cuma, ilmu tidak tepu. KLWBC 2020 akan kekal mendokong aspirasi murni Unesco.
Namun, kita mahu meraikan kempen merakyatkan buku cara Malaysia.
Selamat datang KLWBC 2020. Ayuh berjuang membina budaya membaca dan akses perbukuan di negara kita!
* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain. Zainal Rashid Ahmad juga pernah memenangi 38 hadiah sastera.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.