KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia telah bekerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sarawak sebagai rakan syarikat penerbangan untuk Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) dan Festival Jazz Borneo.
Ketua Komersil AirAsia Malaysia, Spencer Lee berkata kerjasama itu adalah sejajar dengan usaha syarikat yang berterusan bagi meningkatkan kedatangan pengunjung ke Sarawak melalui 23 negara yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan itu.
“Ia bukan semata-mata untuk mempromosikan festival, tetapi identiti kebudayaan yang pelbagai, tradisi yang unik dan eko-pelancongan negeri tersebut.
“Tahun lepas, kami membawa masuk sejumlah 4.3 juta pelawat ke Sarawak dan kami berharap kerjasama ini akan menggalakkan lebih ramai pengunjung ke negeri yang indah ini, sebagai tambahan kepada ribuan pelancong yang melawat dua bandar (Kuching dan Miri) utama festival itu, disamping menyumbang kepada sasaran 5.25 juta pelancong di Sarawak untuk 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sempena kerjasama itu, AirAsia menawarkan tiket penerbangan sehala semua dalam tambang daripada RM79 dari Kuala Lumpur ke Miri, dan RM129 sehala dari Pulau Pinang, Melbourne, Hong Kong dan lain-lain tempat ke Miri.
Tambang itu boleh dibeli melalui airasia.com dan aplikasi mudah alihnya mulai sekarang sehingga 30 April 2018 untuk tempoh perjalanan sehingga 30 Sept 2018.
AirAsia RedTix, cabang perniagaan syarikat penerbangan itu bagi tempahan tiket untuk acara istimewa, juga menjadi rakan kongsi rasmi bagi RWMF tahun ini dan pengunjung boleh mendapatkan tiket mereka melalui airasiaredtix.com.
AirAsia sekarang membuat penerbangan ke lima destinasi dari Miri, dengan sejumlah 86 penerbangan sehala mingguan ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Kuching dan Singapura.
“Kami juga terbang ke 12 destinasi dari Kuching dengan sejumlah 257 penerbangan sehala mingguan ke Shenzhen, Singapura, Pontianak, Miri, Sibu, Bintulu, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Langkawi,” katanya.
Festival Jazz Borneo akan diadakan di Miri pada 11-13 Mei, manakala RWMF akan mengambil tempat di Kuching pada 13-15 Julai depan
Kedua-dua acara ini menjadi festival antarabangsa Sarawak yang mengumpulkan puluhan ribu penonton tempatan dan antarabangsa pada setiap tahun.
Tahun lepas, seramai 4.43 juta pengunjung tiba di Sarawak, sejumlah 421,513 pelawat hadir semasa bulan penganjuran Festival Jazz Borneo dan seramai 406,359 semasa tempoh RWMF.
— BERNAMA