PONTIAN: Aktiviti penyeludupan di sempadan negara bukan perkara baharu, malah isu itu disedari telah berlaku dalam tempoh yang lama.
Demikian reaksi Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pendedahan aktiviti penyeludupan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Padang Besar, Perlis.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada SPRM kerana membantu dalam penyaluran maklumat, dan siasatan akan dijalankan menerusi video termasuk mengenal pasti sindiket penyeludupan.
“Isu penyeludupan di sempadan, kita sedar bukan baharu. Agaknya sudah lama berlaku dan sudah banyak tindakan diambil kalau ada bukti jelas tentang penyeludupan (terbabit).
“Kalau ada mklumat baru (dari) SPRM dengan gambar video yang jelas dan boleh dicam oleh polis kita boleh ambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di Ibu Pejabat Daerah Pontian, Johor pada Jumaat.
BACA: Sempadan negara dibolosi, anggota penguatkuasa ‘buta’ mata
BACA: Sempadan negara bolos: Anda diperhatikan! – Latheefa Koya
Tegas Muhyiddin, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dan tiada pihak yang akan terkecuali dari tindakan undang-undang termasuk pegawai penguatkuasa sekiranya ada bukti yang kukuh.
“Kalau ada anggota terbabit, kita tak kecualikan (dari tindakan)… undang-undang tidak kenal pegawai atau penyeludup, kalau ada bukti memang kita ambil tindakan,” katanya.
Pada Jumaat, SPRM mendedahkan klip video berdurasi 11 minit berhubung kegiatan penyeludupan rentas sempadan di Padang Besar, Perlis.
Klip video yang diambil antara 2017 hingga Mei 2019 itu turut menunjukkan anggota keselamatan kelihatan tidak mengambil tindakan terhadap aktiviti terbabit walaupun berlaku di depan mata.