IPOH, 11 Feb — Kira-kira 40 wanita dalam kalangan B40 yang menghidap masalah kegagalan fungsi ginjal kronik akan menerima dana perubatan untuk mendapatkan rawatan dan bantuan klinikal atau pembedahan kecil fistula arteriovena (AVF) bagi persediaan rawatan hemodialisis.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM100,000 sebagai permulaan menerusi Program Dana Perubatan Wanita Untuk Pembuatan Tapak Dialisis Negeri Perak.
Beliau berkata program kali pertama dilaksanakan itu merupakan kerjasama antara kerajaan negeri dengan Hospital KPJ Ipoh, dilantik sebagai panel bagi menjalankan rawatan tersebut.
“Kerajaan negeri akan menampung kos subsidi rawatan maksimum sebanyak RM3,000 bagi setiap rawatan. Sekiranya jumlah rawatan melebihi peruntukan subsidi, penerima perlu membiayai baki daripada jumlah keseluruhan kos rawatan.
“Syarat kelayakan bagi penerima antaranya pemastautin di Perak sekurang-sekurangnya 10 tahun, wanita berusia 40 tahun ke atas, berpendapatan isi rumah RM3,000 sebulan dan keutamaan diberikan kepada mereka yang tidak menerima sebarang bantuan kewangan daripada lain-lain agensi kerajaan dan swasta,” katanya pada sidang media selepas perasmian program berkenaan di sini, hari ini.
Dr Wan Norashikin berkata pihaknya berharap program itu dapat membantu golongan wanita yang tidak berkemampuan untuk menjalani rawatan dan akan mempertimbangkan untuk lebih ramai penerima termasuk golongan lelaki.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital KPJ Ipoh, Yusmah Salleh berkata kos rawatan menerusi program tersebut telah dikurangkan sehingga 50 peratus dengan setiap pesakit dikenakan kos rawatan antara RM2,800 sehingga RM3,500 bergantung kepada tahap komplikasi penyakit.
“Ini merupakan program tanggungjawab sosial (CSR) Hospital KPJ Ipoh bagi membantu pesakit yang tidak berkemampuan dan kami amat memahami kesukaran yang dihadapi pesakit,” katanya.
Katanya, individu yang mengalami kegagalan ginjal yang kronik dinasihatkan untuk membuat persediaan awal dan melakukan pembedahan kecil fistula beberapa bulan sebelum rawatan hemodialisis diperlukan.