PUTRAJAYA, 26 Jan — Ahli Recording Performers Malaysia Bhd (RPM) dan Performers Rights and Interest Society of Malaysia Bhd (PRISM) akan menerima bayaran pendahuluan sebanyak RM500 seorang daripada jumlah keseluruhan royalti tertunggak lebih RM11.7 juta bermula Jumaat ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata badan pelesenan RPM dan Jabatan Insolvensi (MdI) selaku pelikuidasi kepada tadbir urus PRISM telah bersetuju melaksanakan agihan royalti secara bayaran pendahuluan melalui Unlogged Performance Allocation (UPA).
Beliau berkata jumlah royalti tertunggak berjumlah RM11,788,347.18 akan diagih sebahagiannya secara permulaan melalui kaedah UPA kepada ahli RPM dan PRISM yang layak dengan nilai sebanyak RM500 seorang.
“Dianggarkan seramai 1,134 ahli RPM dan 396 ahli PRISM akan menerima bayaran pendahuluan ini sebelum baki agihan tersebut akan diagihkan mengikut jumlah pelaporan penggunaan lagu,” katanya dalam sidang media secara dalam talian hari ini.
Rosol berkata proses agihan royalti tertunggak itu dijangka diselesaikan pada April tahun ini.
“Kita akan agihkan bayaran royalti secepat mungkin. Mereka yang layak untuk menerima royalti ini perlu mengemukakan dokumen untuk proses pengesahan kerana bayaran adalah berdasarkan kepada jumlah persembahan yang dibuat,” katanya.
Rosol juga berkata persetujuan pembayaran UPA itu adalah hasil tindakan bersama kementerian dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) selaku pengantara dan pemudah cara kepada kemelut agihan royalti pelaku rakaman.
Ia juga hasil kerjasama MdI, PRISM, MRM Caretaker Management Committee dan PRISM Performers Verification & Claims Committee (PPVCC).
Bagi ahli yang tiada dalam senarai layak menerima agihan royalti diminta menghubungi MdI Wilayah Kuala Lumpur di talian 03-2618 3000 (sambungan 2246) untuk mengemukakan dokumen berkaitan bagi tujuan semakan dan pengesahan.
“Bayaran permulaan ini diharap dapat membantu penggiat seni tanah air dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19 yang sedikit sebanyak memberi tekanan dan kesan hebat kepada ekonomi dan industri kreatif negara,” katanya.
— BERNAMA