LABUAN, 1 Mei — Hanya sejumlah kecil guru agama terlibat dalam kempen antivaksin dan usaha berterusan sedang diambil untuk mengatasi isu ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuq Shaary.
“Kami ada mendengar kakitangan agensi-agensi dan jabatan-jabatan tertentu di bawah Jabatan Perdana Menteri yang merupakan antivaksin dan kami akan memainkan peranan kami supaya semua kakitangan jabatan ini mengambil vaksin.
“Rakyat Malaysia yang tidak mengambil vaksin boleh membahayakan orang lain.
Saya ingin menasihatkan warga Malaysia secara amnya perlu mematuhi gesaan kerajaan untuk mengambil vaksin, kerana pengambilan vaksin akan membantu mengurangkan jangkitan,” katanya semasa di Majlis Ramah Mesra Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf di Kompleks Darul Kifayah di sini hari ini.
Ahmad Marzuq berkata peratusan pendaftaran di Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 yang masih rendah di negeri-negeri tertentu kerana faktor-faktor tertentu dan bukan semata-mata daripada guru agama.
“Bagi kami, risiko selepas mengambil vaksin sepertimana yang ditularkan dan dikongsi tidak tepat.
Saya telah melengkapkan dos kedua dan saya rasa lebih sihat.
Berhenti menyebarkan kenyataan tidak benar mengenai program pemvaksinan dengan mempengaruhi rakyat bagi tujuan menimbulkan kesangsian terhadap usaha kerajaan. Mereka yang enggan mengambil vaksin tidak perlu mempengaruhi orang lain,” katanya.
Ahmad Marzuq berkata mereka yang masih belum mendaftar untuk vaksinasi dinasihatkan berbuat demikian dengan segera dan bukan di saat-saat akhir bagi mengelakkan mereka perlu menunggu giliran dalam tempoh yang lama.