PASIR PUTEH, 24 Feb — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan Vietnam selepas mengejarnya hampir dua jam kerana disyaki menangkap ikan secara haram di perairan negara semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie berkata seorang tekong dan enam awak-awak berumur lingkungan 24 hingga 46 tahun turut ditahan di lokasi 84 batu nautika dari muara Tok Bali pada 8.13 pagi.
“Kapal KM Amanah yang diketuai Left Komander Maritim Ahmad Shakur Jamaludin, mengesan bot berkenaan sekitar 7.27 pagi dalam keadaan yang mencurigakan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat APMM Tok Bali di sini, hari ini.
Beliau berkata setelah menyedari kehadiran kapal Maritim mereka cuba melarikan diri keluar dari perairan negara namun berjaya diberkas.
Katanya, jumlah rampasan termasuk bot, peralatan menangkap ikan dan hasil 100 kilogram tangkapan ikan pelbagai spesies dianggarkan bernilai RM350,000 ditunda ke Ibu Pejabat APMM Tok Bali untuk tindakan lanjut.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap hasil laut atau cuba menangkap hasil laut tanpa kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM6 juta bagi tekong dan RM600,000 kepada kru,” katanya.
Beliau berkata ini merupakan tangkapan pertama tahun ini yang sebelum ini pihaknya telah diarahkan supaya mengusir keluar setiap bot asing menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan negara untuk mengelak jangkitan COVID-19.
— BERNAMA