KUCHING, 12 Feb — Sebanyak 83 jangkitan baharu COVID-19 direkodkan di Sarawak hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 6,273 kes dicatatkan sehingga kini di negeri tersebut.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan turut memaklumkan, terdapat dua kes kematian baharu akibat COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 58 kematian.
Kenyataan itu menyatakan, kes kematian ke-57 merupakan kes ke-5,269 melibatkan seorang wanita warga tempatan berumur 66 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu kerana masalah kesukaran bernafas.
“Kesihatan kes kemudiannya merosot dan meninggal dunia pada 11 Feb,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, kes kematian ke-58 juga membabitkan warga tempatan, berusia 79 tahun yang dimasukkan ke Hospital Bintulu pada 9 Feb, kerana mengalami masalah kesukaran bernafas.
Kenyataan itu menyebut mangsa yang mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi, kencing manis, meninggal dunia hari ini.