KUCHING, 28 Feb –Terdapat dua lagi kes kematian akibat jangkitan COVID-19 di Sarawak hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat wabak tersebut di negeri ini meningkat kepada 83 orang.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan memaklumkan kes kematian ke-82 melibatkan seorang wanita warga tempatan berumur 78 tahun yang telah mendapatkan rawatan di Hospital Bintulu kerana mengalami masalah kesukaran bernafas.
“Ujian saringan didapati positif COVID-19 pada 16 Feb. Keadaan kesihatan kes didapati semakin merosot dan meninggal dunia pada 27 Feb. Kes mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi, kencing manis dan kegagalan fungsi buah pinggang,” menurut kenyataan itu.
Kes kematian ke-83 pula merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 80 tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Sibu dari sebuah pusat jagaan setelah ujian saringan dibuat dan dikesan positif pada 29 Jan.
“Keadaan kesihatan kes didapati semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 27 Feb. Kes mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi, kencing manis dan kanser prostat dan dimaklumkan kes ini adalah daripada Kluster Pasai,” menurut JPBN.
Sebanyak 171 kes baharu jangkitan COVID-19 dikesan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kini 9,545 kes.