Oleh Linda Khoo
BANGKOK, 18 April — Kes COVID-19 Thailand mencecah rekod tertinggi pada Ahad ketika pihak berkuasa sedang bersiap menyediakan ribuan katil tambahan di hospital lapangan di seluruh negara untuk pesakit asimptomatik atau tanpa gejala.
Dalam tempoh 24 jam yang lepas, Thailand melaporkan 1,767 kes baharu COVID-19, lonjakan harian terbesar sejak penularan pandemik itu pada Januari tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu kepada 42,352. Dua kematian dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 101 orang.
Ini adalah hari keempat berturut-turut Thailand mencatatkan lebih 1,500 kes dalam jumlah harian.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wussanuyothin berkata daripada 1,767 kes baharu itu, sebanyak 1,765 adalah penularan tempatan termasuk 1,477 mendapatkan rawatan di hospital dan 288 dikenal pasti melalui pengesanan kes aktif sementara dua lagi adalah kes import.
Beliau berkata Bangkok mendahului senarai dengan jumlah kes tertinggi sebanyak 347, diikuti Chonburi (229), Chiang Mai (164), Nonthaburi (100) dan Prachuap Khiri Khan (66).