IPOH, 6 Mei — Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak hari ini menyerbu sebuah kilang dipercayai menjalankan aktiviti peleburan logam secara haram di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Sungai Durian, Tanjung Tualang di Batu Gajah.
Pengarahnya Rosli Zul berkata pihaknya melakukan risikan menerusi dron yang diterbangkan di kawasan kilang terpencil itu selepas menerima aduan mengenai aktiviti haram menyebabkan pencemaran udara pada pertengahan bulan lepas.
“Hasil intipan kami melalui dron itu mendapati terdapat pergerakan individu yang menjalankan operasi di kilang berkenaan bersama bahan mentah lalu kami mengaturkan operasi bersepadu bersama pelbagai agensi namun serbuan yang dijalankan pada hari ini tidak memperoleh sebarang tangkapan.
“Kami menemukan sisa makanan yang baru ditinggalkan dan peralatan termasuk peti ais serta sisa-sisa bahan logam yang telah kami ambil untuk proses analisa bagi mengenal pasti sama ada ia dikategorikan sebagai buangan berjadual berdasarkan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekitar,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Operasi kira-kira tiga jam bermula 10.30 pagi itu turut disertai pihak polis, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Kinta, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Perak dan Jabatan Imigresen Malaysia Perak.
Rosli berkata pemeriksaan lanjut mendapati premis itu dibina atas tanah pertanian dan disalahgunakan untuk menjalankan aktiviti perindustrian tanpa kelulusan dengan menggunakan tenaga solar serta generator tanpa fasiliti lengkap malah tiada bekalan air.
Bagaimanapun, katanya tiada sebarang produk yang dihasilkan dijumpai namun pihaknya percaya kilang haram itu menumpukan aktiviti meleburkan metal skrap untuk mendapatkan logam.
Beliau berkata pihaknya sedang mengesan pemilik kilang berkenaan untuk tindakan lanjut dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik termasuk merobohkan kilang haram seperti yang giat dijalankan bagi memastikan ia tidak kembali beroperasi.
— BERNAMA