SIBU, 25 Feb — Kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech selamat tiba di Pejabat Farmasi Bahagian Sibu di Jalan Awang Ramli Amit di sini, kira-kira 2.35 petang tadi.
Penghantaran menggunakan lori AsiaLink Cargo dari Kuching yang diiringi polis itu, melibatkan 13,000 dos untuk 6,000 petugas barisan hadapan di Sibu, Mukah, Kapit dan Sarikei.
“Sejumlah 3,576 petugas barisan hadapan di Bahagian Sibu akan menerima dos pertama mereka esok,” kata Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu Dr Annuar Rapaee yang juga Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak.
Vaksin berkenaan akan diberikan di Hospital Sibu, Klinik Kesihatan Lanang dan Klinik Kesihatan Sibu Jaya.
Annuar berkata wakil dari Mukah, Kapit dan Sarikei dijadualkan mengambil vaksin itu esok.
Pesawat khas yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech untuk Sarawak selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada 6.20 petang semalam.
Pesawat TH543 yang dikendalikan syarikat penerbangan Raya Airways itu membawa 23,400 dos vaksin COVID-19 untuk pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di negeri ini.
— BERNAMA