SHAH ALAM, 29 April – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyerahkan sumbangan RM2.02 juta kepada 27 Rumah Pemulihan Al-Riqab (RPA) sekitar Selangor yang di bawah seliaan MAIS menerusi Geran Sukuan Pertama Tahun 2021 bagi membantu kebajikan golongan asnaf riqab.
Setiausaha Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata sumbangan menggunakan peruntukan Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu bertujuan membantu golongan yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan selain pelbagai bantuan lain supaya mereka kembali ke pangkal jalan.
Menurutnya menerusi bantuan ini, golongan riqab berkenaan mendapat manfaat wang zakat melalui program pemulihan yang dilaksanakan oleh MAIS dengan bantuan badan bukan kerajaan berdaftar, dengan tujuan mendidik dan membimbing mereka menjadi mukmin yang direda.
“Bantuan keperluan hidup juga turut diberikan kepada golongan ini, sebagai contoh, asnaf riqab diberi bantuan sewa rumah supaya mereka boleh berhijrah ke tempat tinggal yang lebih baik untuk istiqamah dengan cara hidup bersyariat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata MAIS juga menyediakan bantuan kewangan bulanan kepada individu yang menjaga asnaf riqab bagi menggalakkan mereka menghadiri kelas bimbingan yang dianjurkan oleh MAIS selain menyalurkan bantuan lain, antaranya modal perniagaan dan perubatan untuk meringankan beban kehidupan.
Antara RPA yang menerima bantuan ialah Rumah Pemulihan Akhlak Insani, Rumah Solehah, Rumah Bela Insan dan Rumah Perlindungan & Bimbingan Wanita Bayt Rahmah.