KUALA TERENGGANU, 1 Feb — Prihatin dengan kesusahan hidup golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) mengambil inisiatif menyediakan barangan keperluan melalui ‘Food Bank’ bagi meringankan beban kewangan mereka.
Presiden MBNT Amirullah Othman berkata inisiatif yang bermula sejak Rabu lepas itu menggalakkan sesiapa sahaja terutama mereka yang mengalami masalah kewangan untuk mengambil barangan keperluan yang diletakkan di sebuah rak di tingkat bawah Wisma Seri Amar di sini, mengikut keperluan yang secukupnya.
“Sekiranya barang yang diperlukan itu sudah kehabisan stok, mereka boleh menulisnya pada ruangan nota yang disediakan agar ia boleh ditambah semula secepat mungkin.
“Orang awam juga boleh menderma barangan keperluan di Food Bank MBNT ini dengan menghantarnya ke Wisma Seri Amar pada bila-bila masa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Antara barangan yang disediakan ialah minyak masak, tepung gandum, susu, lampin bayi pakai buang, biskut, gula, kicap dan makanan dalam tin.
Amirullah berkata sebagai permulaan, pihaknya meletakkan barangan keperluan yang bernilai RM1,000 dan mendapati stok barangan sentiasa susut setiap hari membuktikan ramai individu yang mendapat manfaat daripadanya.
“Selain Kuala Terengganu, MBNT juga telah menggerakkan inisiatif yang sama di Kemaman hari ini serta akan memperluaskannya ke setiap daerah secepat mungkin.
“Kami juga mengalu-alukan sumbangan kewangan daripada mana-mana pihak yang berhajat untuk membantu melalui Tabung Kebajikan Belia Terengganu menerusi akaun Maybank (563019273715).
“Semoga inisiatif kecil MBNT ini dapat mengurangkan beban kewangan golongan terjejas serta mampu mendidik orang awam untuk saling membantu dan tidak mementingkan diri pada saat yang getir ini,” katanya.