KUALA TERENGGANU, 20 Mei — Mayat seorang nelayan yang hilang sejak semalam ditemukan terapung pada kedudukan kira-kira 17 batu nautika dari Pulau Kapas dekat sini, hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramlie berkata mayat Baharudin Abdullah, 47, ditemui nelayan tempatan pada kira-kira pukul 1 tengah hari, semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke jeti Maritim Terengganu kira-kira pukul 7.30 malam tadi oleh bot maritim Pengawal 16 dan proses pengecaman telah dilakukan oleh ahli keluarga mangsa serta pihak polis.
“Mayat tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Suffi berkata susulan penemuan tersebut, pihaknya akan memberi fokus pada SAR bagi mengesan dua lagi nelayan yang hilang di perairan Kuala Terengganu dengan menggunakan tiga buah aset APMM iaitu kapal peronda, sebuah bot peronda dan pesawat.
“Pencarian hari ini merangkumi jarak sejauh 211.54 batu radius dari kawasan mangsa dipercayai hilang dan operasi pencarian turut dibantu Jabatan Perikanan dan persatuan nelayan tempatan.
“Tekong bot terbabit, Jaafar Sulong, 66, dan krunya Baharuddin, 30-an didapati tidak pulang selepas keluar menangkap ikan pagi semalam. Mereka sepatutnya pulang pada hari yang sama namun tidak berbuat demikian malah kedua-dua mereka gagal dihubungi,” katanya.
— BERNAMA