KUALA LUMPUR, 28 Dis — Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa agar kerajaan menyelesaikan isu-isu membabitkan majikan yang masih memerlukan sokongan kerajaan bagi menangani cabaran yang wujud akibat pandemik COVID-19.
Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata MEF – yang menggalakkan dan melindungi hak dan kepentingan majikan sektor swasta – akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk menyelesaikan isu-isu berkenaan, terutamanya bagi mereka yang terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Selain pelaksanaan program Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang efektif oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, MEF turut menyokong langkah-langkah intervensi bersasar dan inisiatif awam-swasta yang telah dilaksanakan untuk memerangi pandemik ini dan menghentikan kemerosotan ekonomi yang wujud,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Hussain turut mengalu-alukan langkah kerajaan melanjutkan program upah subsidi serta pelbagai insentif yang diberikan kepada majikan untuk menggalakkan pengambilan pekerja-pekerja baharu khususnya menerusi Belanjawan 2021.
“Melanjutkan program upah subsidi sehingga Mac 2021, terutamanya kepada sektor pelancongan dan runcit akan membantu majikan dalam sektor-sektor ini untuk mengekalkan pekerja mereka.
“Sementara itu, geran dan insentif untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula para pekerja adalah seiring dengan dasar negara untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi produk dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi,” katanya.